KUCHING: Seekor buaya dewasa berukuran 4.39m panjang berjaya dibunuh di Sungai Samarahan, Kota Samarahan, kira-kira 30km dari sini, Sabtu. Perbadanan Kehutanan Sarawak (SFC) dalam satu kenyataan berkata buaya itu dibunuh dalam operasi oleh pasukan 'Swift Wildlife Action Team' (SWAT) di bawah SFC berikutan serangan ke atas Ismandi Osman yang dilaporkan hilang pada pertengahan September. SFC berkata operasi itu membabitkan kawasan perairan antara Kampung Pinang hingga ke hulu Kampung Endap, dengan tumpuan di kawasan sekitar lapan kilometer dari tempat mangsa diserang. "SWAT memasang 13 pancing dan seekor buaya jantan sepanjang 4.39m, seberat kira-kira 600 kg memakan umpan pada salah satu pancing," kata kenyataan itu. "Berikutan itu, buaya tersebut telah dilapah dan kandungan perutnya diperiksa. "Beberapa tulang dan rambut ditemui. Kerja-kerja forensik akan dijalankan bagi menentukan sama ada tulang dan rambut berkenaan milik manusia," kata kenyataan itu. -- Bernama