PETALING JAYA: Siasatan Ops Water Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diteruskan apabila keterangan pemilik beberapa syarikat yang terlibat dalam projek infrastruktur Jabatan Air Sabah. Mereka adalah saksi kes melibatkan pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah yang juga suspek utama penyalahgunaan dana awam sebanyak RM3.3 bilion. Sumber memberitahu, percakapan lima saksi dirakam pada Ahad, menjadikan jumlahnya setakat ini 28 orang. "Mereka adalah pemilik beberapa syarikat yang dipercayai terlibat secara langsung dalam projek infrastruktur jabatan berkenaan di Sabah," katanya. Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut tetapi enggan mengulas lanjut berhubung siasatan yang sedang dijalankan. Setakat ini, SPRM sedang memperincikan pelbagai aspek termasuk rampasan wang tunai mencecah RM114 juta, barang kemas seberat 19 kilogram yang bernilai RM3.64 juta dan 127 geran melibatkan tanah perumahan, pertanian dan komersial. Selain itu juga, pihak SPRM juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa asing bagi mengesan pemindahan wang di beberapa bank di luar negara. Selain dua pegawai kanan jabatan berkenaan, dua lagi yang ditahan adalah abang kepada timbalan pengarah dan seorang akauntan. Mereka direman selama seminggu.