KUANTAN: Tiga remaja maut, manakala seorang lagi parah dalam kemalangan di Kilometer 78.9 lebuh raya Kuala Lumpur-Karak, berhampiran Plaza Tol Karak di sini, kira-kira 1.30 pagi Ahad. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata kemalangan itu dipercayai berpunca apabila dua mangsa cuba membantu seorang rakan mereka yang terjatuh, namun malangnya dilanggar seorang lagi penunggang motosikal. "Kemalangan dipercayai berlaku apabila R. Vijayan, 20, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 terjatuh berseorangan menyebabkan K. Arvin, 25, dan S.Ganesh, 21, yang berada di seberang jalan cuba membantunya. "Bagaimanapun, mereka dilanggar oleh Muhammad Faiz Ahmad Fuzi, 19, yang menunggang motosikal Yamaha 125Z yang difahamkan gagal untuk mengelak mangsa," katanya sewaktu dihubungi di sini, Ahad. Menurut Mohd Noor, kemalangan itu mengakibatkan Vijayan, Arvin dan Muhammad Faiz maut di tempat kejadian, manakala Ganesh patah kedua-dua belah kaki. Beliau berkata sampel darah kesemua mangsa yang tidak bekerja dan berasal dari Bentong telah diambil bagi ujian toksikologi dan hasil siasatan di tempat kejadian hanya menemui lesen memandu milik Muhammad Faiz. -- Bernama