BUTTERWORTH: Parti Cinta Malaysia (PCM) meminta polis menyiasat kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengenai Sarawak yang didakwa berbaur hasutan. Naib Presiden PCM Datuk Huan Cheng Guan menyifatkan kenyataan dibuat melalui teks ucapan Lim pada majlis Konvensyen DAP Sarawak ke-18 di Sibu semalam, yang dibacakan oleh Naib Presiden DAP Chong Chieng Jen itu sebagai 'cukup bahaya dan cukup serius'. "Kenyataan sebegini memang cukup bahaya, ini cukup serius. Saya minta pihak polis menyiasat perkara ini dengan sewajarnya mengikut lunas undang-undang yang ada," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Perai Seberang Perai Tengah, di sini, Isnin. The Malay Mail Online melaporkan Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyeru Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan parti politik di negeri itu supaya menarik diri daripada Barisan Nasional (BN) jika BN gagal memenuhi permintaan negeri itu untuk kuasa autonomi. Kenyataan itu turut dimuat naik menerusi laman Facebook CM Lim Guan Eng. Huan berkata sebagai ketua menteri, Lim tidak seharusnya sibuk menjaga perihal negeri orang lain, sedangkan Pulau Pinang yang di bawah pimpinannya berhadapan dengan pelbagai isu. "Mengapa beliau harus pergi sibuk di negeri Sarawak. Dia bukan ketua menteri Sarawak. Dia ketua menteri Pulau Pinang. Seharusnya kita jaga rumah sendiri dulu sebelum jaga rumah orang lain," katanya.-- Bernama