JOHOR BARU: Keadaan kesihatan dua jururawat dan seorang pelatih fisioterapi Hospital Sultanah Aminah (HSA), yang cedera dalam insiden kebakaran Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu Selasa lepas bertambah baik, kata anggota exco kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata mereka tidak lagi bergantung pada alat bantuan pernafasan dan kedua-dua jururawat itu juga tidak lagi memerlukan bantuan oksigen. Hanya pelatih fisioterapi yang masih diberikan rawatan oksigen biasa, katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Ayub berkata, ketiga-tiga mangsa iaitu Nursuhaily Saliman @ Suleiman, 23; Nurul Ain Zulkarnain, 24; dan Siti Nurshafika Mohd Amsah, 21, masih ditempatkan di Unit Rawatan Kebakaran untuk pemerhatian. Mengenai S. Supammah, 67, pesakit ICU yang diselamatkan dalam tragedi kebakaran yang meragut enam nyawa pesakit kritikal di wad itu, Ayub berkata keadaannya masih kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Kebakaran. "Dia masih menggunakan alat bantuan pernafasan namun berada dalam keadaan stabil dan dalam pemantauan pakar," katanya. Ayub berkata pesakit yang dimasukkan ke wad di HSA bagi tujuan pembedahan elektif (pembedahan yang dijadualkan lebih awal dan bukannya kes kecemasan) dibenarkan pulang. Beliau turut memaklumkan kebanyakan kes kecemasan kini akan dirujuk dan dikendalikan Hospital Kulai. "Pihak Hospital Kulai akan memberikan tumpuan pada pesakit yang lebih serius dan memberi rawatan kecemasan diikuti dengan rujukan atau kemasukan wad jika perlu," katanya. Sehubungan itu, orang ramai di kawasan sekitar yang mahu mendapatkan rawatan bukan kecemasan boleh pergi ke Klinik 1Malaysia Saleng di Bandar Putra dan Klinik Kesihatan Kulai Besar.-- Bernama