suria

Pemilik Pasar Raya Jual Barang Kawalan Tanpa Lesen Didenda RM50,000

KOTA SAMARAHAN: Seorang pemilik sebuah pasar raya didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bagi kesalahan menjalankan urus niaga runcit barang kawalan berjadual tanpa lesen.

Hakim Marutin Pagan memerintahkan tertuduh Sin Joon Miaw menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Sin, 63, didapati bersalah menjual 37 botol minyak masak jenama Reiser, 76 botol minyak masak jenama Twin Leaves (5kg sebotol), 2,515 bungkus gula pasir jenama Prai (1kg sebungkus) yang kesemuanya bernilai RM9,617.30 di pasar rayanya di Serian pada 7 Nov lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 22(10 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 2015), yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak Nurul Azrina Mohd Yusof.

Sementara itu, Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak Abd Hafidz A. Rahmin ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, menasihati peruncit supaya mendapatkan lesen untuk menjual barang kawalan berjadual.

Beliau berkata ini bagi memudahkan pihak KPDNKK membuat pemantauan bekalan barang kawalan di kawasan-kawasan tertentu.

"Ia juga bagi memudahkan pihak kementerian mengarahkan pembekal untuk membekalkan barang-barang terkawal ke peruncit yang berlesen," katanya.

Artikel Lain