PETALING JAYA: Dua rakyat Malaysia di bawah Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) tiba di Beijing dari Korea Utara. Jurucakap WFP mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut. Setakat ini, tidak dipastikan sama ada dua rakyat Malaysia itu akan pulang ke Malaysia atau ditempatkan ke tempat lain. "Kakitangan berkenaan merupakan penjawat awam antarabangsa dan mereka bukan wakil kerajaan negara mereka. "Mereka bekerja dengan WFP di Korea Utara," kata jurucakap itu. Selasa lalu, Korea Utara mengeluarkan arahan melarang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan sebagai tindak balas Malaysia turut mengambil tindakan sama terhadap rakyat Korea Utara di negara ini.