suria

KPN: Tak Perlu Siasat Video Lelaki Dakwa Anak Jong-nam

KUALA LUMPUR: Polis tidak akan menyiasat rakaman video seorang lelaki yang mendakwa anak kepada lelaki warga Korea Utara yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, video berdurasi 40 saat itu telah diteliti oleh pihaknya selepas ia menjadi tular di laman sosial, berita portal tempatan dan antarabangsa sejak Rabu dan membuat keputusan untuk tidak meneruskan siasatan.

"Tak perlulah siasat video itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Pada Rabu, sebuah rakaman video dimuat naik ke laman Youtube dengan memaparkan seorang lelaki yang menunjukkan pasport diplomatik Korea Utara bagi membuktikan beliau adalah Kim Han-sol dan mendakwa bapanya Kim Jong-nam dibunuh.

Bagaimanapun, muka surat yang menunjukkan maklumat pasport itu secara terperinci telah ditutup secara digital.

Kematian Kim Chol dilaporkan secara meluas di media sebagai Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.

Difahamkan, rakaman video itu dirakam beberapa hari selepas Kim Chol dibunuh dan dimuat naik oleh kumpulan yang dikenali sebagai Pertahanan Awam Cheollima (CCD) ke laman Youtube. 

Kumpulan itu mendakwa telah menyelamatkan beberapa orang anggota keluarga Jong-nam dan mereka berada di bawah perlindungan di satu lokasi yang tidak dimaklumkan.

Jurucakap Perkhidmatan Risikan Nasional Korea Selatan mengesahkan lelaki dalam video itu adalah Han-sol namun tidak mendedahkan butiran lanjut.

Han-sol, 21, dipercayai seorang graduan Universiti Sciences Po di Paris yang hidup dalam buangan dengan ibu bapanya. - Bernama

Artikel Lain