suria

Bina 'Bandar Bawah Tanah' Di Kampung Baru - Elyas Omar

Kampung Baru.

KUALA LUMPUR: Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Elyas Omar mencadangkan agar Kampung Baru dibangunkan sebagai 'bandar bawah tanah' yang meliputi pembinaan jalan raya dan pusat perdagangan berkonsepkan bawah tanah. 

Katanya, faktor tanah di ibu kota semakin terhad dek pembangunan pesat dan peningkatan jumlah penduduk, oleh itu pembinaan bandar di bawah tanah adalah alternatif yang ideal sekiranya dapat direalisasikan. 

"Bangunan-bangunan bawah tanah boleh dibina setinggi dua hingga tiga tingkat yang menempatkan pejabat-pejabat, pusat beli-belah dan tempat letak kereta serta dilengkapi dengan sistem pengaliran udara yang baik. 

"Semua aktiviti seperti 'shopping' dan pergerakan kenderaan di bawah tanah, di atas tanah (pula) boleh dibangunkan sebagai taman hijau yang digunakan sebagai rekreasi warga kota pada waktu pagi ataupun petang," katanya di Wisma Bernama di sini, Khamis.

Elyas berkata, dari segi infrastruktur pengangkutan, sistem Transit Aliran Ringan (LRT) disaran diperluaskan ke seluruh kawasan dalam bandar raya ini bagi menggalakkan lebih ramai warga kota beralih menggunakan pengangkutan awam sekaligus mengurangkan kesesakan lalu lintas. 

Elyas yang berkhidmat sebagai Datuk Bandar dari 1981 hingga 1992, turut mencadangkan agar tiada pembinaan jalan raya di atas bandar bawah tanah disebabkan tanah yang terhad di Kampung Baru. 

"Semua pergerakan kenderaan harus dilakukan di jalan raya bawah tanah, serta dibina sistem pengaliran udara yang baik," katanya. 

Beliau berkata, sistem perbandaran bawah tanah memerlukan perancangan teliti kerana segala aktiviti yang dijalankan di bawah tanah turut mengambil kira sistem perparitan dan pengurusan banjir. 

"Perancangan sistem saliran bawah tanah juga harus dijalankan secara teliti bagi melancarkan pengaliran air ke sungai dan parit dan mengatasi masalah banjir," katanya. 

Elyas mengingatkan bahawa sekiranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhasrat untuk membangunkan 'underground city' itu, perancangan juga perlu mengambil kira pembangunan semula bangunan-bangunan lama yang ada di Kampung Baru. 

"Rumah-rumah tradisional lama yang tiada nilai sejarah harus dirobohkan, sebelum ia dibina semula menjadi rumah Melayu tradisional moden yang boleh dijadikan sebagai 'chalet' ataupun 'hotel' di bawah tanah. 

"Bangunkan semula rumah atau bangunan yang sudah berusia melebihi 50 tahun, jadikannya sebagai kampung tradisi yang lebih teratur dan berkonsepkan reka bentuk inovatif di bawah tanah," katanya yang mencadangkan agar ciri-ciri tradisinya dikekalkan. 

Selain itu, Elyas turut menyarankan DBKL memberi fokus dalam memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik dalam kawasan bandar dengan harga yang berpatutan.

"Hasrat saya mahu lebih ramai penduduk tinggal dalam bandar dan tidak mahu melihat 'dead city' seperti di Chicago, sebab itu saya galakkan kondominium mampu milik dibina di bandar raya," katanya. - Bernama

Kampung Baru

Artikel Berikut

Artikel Lain