suria

Culik Datuk: Tarikh Sebutan Semula Pada 7 April

Anggota Unit Cawangan Khas Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang mengawal ketat Ang Boon Leong, 39, dan Lim Sin Chye, 44, ketika keluar dari Mahkamah Majistret pada Februari lalu. Foto: Bernama

KUANTAN: Mahkamah Tinggi menetapkan 7 April depan untuk tarikh sebutan semula kes penculikan seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM19 juta, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Hassan Abdul Ghani menetapkan perkara itu setelah hanya dua daripada empat tertuduh Ang Boon Leong, 40, dan Lim Sin Chye, 45, didakwa untuk prosiding pada Jumaat.

Loh Sing Hwa, 29, dan Tham Hock Ann, 36, yang turut dituduh di MahkamahSesyen dan Mahkamah Majistret sebelum ini, tidak dipanggil untuk pendakwaan hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan Lim dari Kemaman, Terengganu, dan Ang dari Kepong, Kuala Lumpur bersama dua lagi rakan mereka, Loh dan Tham dan tiga lagi suspek yang masih bebas, didakwa telah melarikan dan mengurung secara salah Chin Yoke Choon, 54, pada 26 Disember 2015.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tempat letak kereta Hotel Seri Manja Boutique, Bandar Indera Mahkota di sini, pada 5.55 petang, 26 Disember 2015.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Semakan 1989) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh digantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Lim diwakili Bob Arumugam manakala Ang tidak diwakili peguam. 

Sebelum itu Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Md Kamal memohon agar mahkamah menjalankan perbicaraan bersama terhadap dua tertuduh dan dua lagi rakan mereka yang kemudian dipersetujui oleh Bob.

Mahkamah menetap 7 April depan sebagai tarikh perbicaraan bersama kes itu selain untuk memberi peluang kepada Ang melantik peguam. -Bernama

Culik Datuk

Artikel Berikut

Artikel Lain