KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki warganegara Korea Selatan ditemui di pangsapuri yang berkunci selepas beberapa hari meninggal dunia kerana masalah kesihatan. Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy, pihak polis telah dimaklumkan oleh seorang pengawal keselamatan pangsapuri tersebut selepas menghidu bau busuk pada 9 Mac. "Pengawal itu memberitahu dia terhidu bau busuk di salah sebuah unit pangsapuri di tempat dia bekerja di Jalan Sultan Azlan Shah. "Polis dibawa ke unit pangsapuri oleh pengawal sebaik sahaja tiba di tempat kejadian. Dan pintu kediaman tersebut terpaksa dipecahkan kerana ianya dikunci," katanya. Polis menemui mayat seorang lelaki yang berada dalam keadaan meniarap di atas katil serta terdapat kesan darah di situ. Dokumen pengenalan diri turut ditemui di tempat kejadian dan mangsa berusia 43 tahun berasal dari Korea Selatan. "Ketika menemubual salah seorang jirannya, kali terakhir mangsa dilihat lebih kurang dua minggu lalu. Pasukan forensik mendapati tiada kesan pecah dan tiada kecederaan luaran pada badan. Kesan peribadi mangsa juga masih berada di tempat kejadian," katanya. ACP Munusamy berkata siasatan menunjukkan bahawa darah yang berada di sekitar mangsa adalah berpunca daripada badan yang telah reput. Siasatan juga mendapati bahawa mangsa telah menyewa unit itu sejak Mei 2016, dan tiba ke Malaysia untuk mempelajari bahasa Inggeris. Tiada pas kerja atau visa ditemui bersama pasportnya. Hasil bedah sisasat mendapati mangsa diserang sakit jantung dan menunjukkan telah meninggal dunia lebih kurang empat hari lalu. "Pihak kedutaan akan dimaklumkan bagi mengenal pasti maklumat keluarga mangsa," tambahnya.