suria

Suspek Daesh: Imigresen Thailand Belum Terima Maklumat

Nathathorn Prousoontorn.

BANGKOK: Polis Imigresen Thai belum dimaklumkan oleh rakan mereka daripada Malaysia mengenai seorang suspek militan Daesh yang melarikan diri ke selatan Thai daripada Kelantan.

Menurut ketuanya Lt Jen Nathathorn Prousoontorn, suspek mungkin menggunakan laluan haram di kawasan sempadan untuk memasuki selatan Thai.

“Saya tidak menerima maklumat rasmi dan sekiranya dia melarikan diri ke Thailand, saya tidak fikir dia akan melalui kawalan imigresen sempadan sekiranya dia membawa senjata api. Dia mungkin menyeberang ke Thailand secara haram,” katanya kepada Bernama.

Walaupun tidak menerima  sebarang maklumat rasmi daripada pihak Malaysia, Prousoontorn tidak menolak kemungkinan agensi keselamatan kedua-dua negara sudah bertukar-tukar maklumat.

Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penahanan empat lelaki dan dua wanita atas dakwaan terbabit dengan kumpulan militan Daesh.

Menurutnya polis Malaysia juga sedang mencari Muhammad Muzaffa Arieff Junaidi, 27, daripada Kampung Gertak, Rantau Panjang, Kelantan, yang melarikan diri ke selatan Thailand beserta sepucuk pistol dan dua laras refal M-4 Carbine.

Beliau berkata Muhammad Muzaffa turut berada dalam pasukan yang sama bertanggungjawab dalam penyeludupan senjata api daripada selatan Thailand ke Malaysia.

Sementara itu Perdana Menteri Thai, Jen Prayut Chan-o-cha yang ditanya mengenai perkara itu enggan mengulas lanjut kerana menurutnya ia sensitif dan boleh menjejaskan banyak perkara di Thailand.

Namun katanya, Malaysia dan Thailand sentiasa bekerjasama terutama melibatkan siasatan bersama dan penghantaran balik suspek.

Beliau berkata tiada bukti setakat ini menunjukkan penglibatan rakyat Thai dalam kumpulan Daesh.

Pemerintah Tentera Darat Wilayah Empat, Lt Jen Piyawat Nakwanich yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan di selatan Thai pula memberitahu media tempatan bahawa beliau menyedari laporan itu dan telah mengarahkan para pegawainya untuk mengesahkan perkara tersebut dengan rakan Malaysia mereka.

Suspek Daesh, Malaysia, Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain