SHAH ALAM: Selebriti popular tanah air, Azwan Ali mengaku dirinya merupakan penyokong tegar Umno selama ini. Perjuangan menyokong parti itu bermula sejak kecil lagi. “Saya memang dah lama bersama Umno. “Saya memang ahli Umno, cuma belum daftar sahaja lagi,” katanya semasa dalam sesi temubual yang dibuat secara langsung Sinar Online. Katanya, perjuangan bersama Umno pernah terhenti pada PRU13 di mana ketika itu Azwan membantu abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berkempen untuk Pakatan Rakyat. “Sekarang ini, saya dah sedia untuk mendaftar, kalau ada siapa-siapa yang sudi, bolehlah... daftarkan saya. “Saya tahu perjuangan parti ini macam mana, kerana itu masih bertahan,” ujarnya. Dalam pada itu katanya, bidang politik ini merupakan satu bidang yang lain dan menarik minatnya untuk meneruskannya dengan lebih serius. “Ia begitu lain, yang kuat sahaja mampu berada di sini (politik). Mungkin satu hari nanti, saya akan lebih serius. “Buat masa ini, saya masih belajar selok-belok politik,” katanya lagi. Sementara itu, ketika diminta pendapat mengenai selebriti tempatan yang begitu lantang di media sosial, Azwan berkata, ia tidak salah. “Saya juga antara yang menggunakan media sosial untuk berkata atau menegur sesuatu, tetapi kalau nak cakap, pastikan tahu perkara itu dahulu. “Jangan cakap tapi tak tahu apa-apa,” katanya. Azwan yang sebelum ini mendiamkan diri dari bidang seni sejak tiga tahun lalu, membuat kemunculan apabila hadir ke Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini. Lebih memeranjatkan apabila Azwan hadir bersama Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos serta melancarkan serangan terhadap abangnya Mohamed Azmin. - Sinar Online