KUALA LUMPUR: Belum sampai seminggu Belanjawan 2019 diumumkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat terus ‘menyerang’ kandungan belanjawan pertama kerajaan pimpinan PH. Dalam catatan terbaru di Facebooknya, Najib menyindir kenyataan PH yang meninggi hidung mendakwa Belanjawan 2019 adalah ‘paling besar’. Malah, beliau turut menyenaraikan beberapa bantuan diberikan kerajaan BN sebelum ini namun tidak lagi disambung malah ada juga jumlah peruntukannya dipotong kerajaan PH. “Ya, ‘paling besar’ tapi apa sebenarnya yang ibu bapa, pelajar dan guru dapat? RM250 subsidi pendidikan seperti Baucar Buku 1Malaysia atau KADS1M, tidak disebut. Rasanya kini tiada lagi. Kita tunggu menteri buat u-turn. “Bantuan Makanan Prasekolah dipotong RM10 juta. Bantuan Makanan Asrama dipotong RM100 juta. Biasiswa kecil persekutuan untuk murid-murid dipotong RM28 juta. “Peruntukan biasiswa perguruan persekutuan dipotong RM6.5 juta dan Bonus penjawat awam daripada RM1,500 tinggal RM500,” katanya. Sebahagian daripada isi posting yang ditulis oleh Najib menerusi akaun Facebooknya. Tambahnya, mungkin pelajar dan guru termasuk dalam golongan ‘rakyat Malaysia yang tak patut diberi bantuan dan subsidi sebab malas’ seperti kata kerajaan PH. “Kerajaan BN dulu merangka Bajet berdasarkan keperluan rakyat. Kami ikhlas nak beri dan bantu. “Sekarang habis semua mereka potong. ‘Bajet Paling Besar’ konon,” sindirnya. Sindiran Ahli Parlimen Pekan itu tidak berakhir di situ apabila beliau meluahkan kerinduan kepada suara pejuang mahasiswa yang tidak lagi kedengaran kini. Katanya lagi, bukan setakat suara tak dengar malah bayang mereka juga sudah tidak kelihatan. “Suara pejuang-pejuang mahasiswa sudah tidak kedengaran. Bayang pun sudah entah ke mana. Saya rindu anda semua. “PTPTN kita tak perlu sebutlah sebab bukan setakat ditipu, lebih sengsara dengan dasar mereka kini. “Ada yang beritahu saya, ini merupakan kenangan terindah sebagai pelajar. Betullah, kini hanya tinggal kenangan,” katanya. - Sinar Harian