suria

Banjir datang lagi, gelombang kedua mula melanda Kelantan

441 mangsa melibatkan 103 keluarga dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas untuk peringkat pertama. FOTO: BERNAMA.

PENDUDUK di Kelantan sekali lagi diuji apabila banjir gelombang kedua melanda negeri itu yang mana jajahan Jeli mula dinaiki air sejak lewat malam Selasa.

Setakat pukul 7.45 pagi Rabu, sebanyak tujuh pusat pemidahan sementara (PPS) dibuka di Jeli.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, 441 mangsa melibatkan 103 keluarga dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas untuk peringkat pertama.

Lima lagi PPS yang dibuka adalah di Dewan Kesedar dan Awam Pasti Sungai Satan, SK Kalai, Dewan Kesedar Pasti Bukit Lakota, Masjid Gemang dan SK Legeh tetapi masih belum ada penempatan mangsa.

Mangsa terdiri daripada 263 orang dewasa, 52 (warga emas), 154 (kanak-kanak), 24 (bayi) dan lapan orang kurang upaya.

Sementara itu, mengikut publicinfobanjir.water.gov.my paras air di Sungai Golok di Jenob sudah melepasi paras bahaya iaitu 25.30 meter (bahaya 23.50m) dan menunjukkan trend meningkat.

Empat sungai melepasi paras berjaga-jaga ialah Sungai Kelantan di Kusial berada pada bacaan 12.98m (berjaga-jaga 12m), Sungai Golok di Rantau Panjang pula 7.84m (berjaga-jaga 7m), Sungai Lebir di Tualang 28.81m (berjaga-jaga 27m) dan Sungai Pergau di Air Botol Jeli, 71.85m (berjaga-jaga 71.30m). - Sinar Harian.

banjir, Jeli, gelombang kedua

Artikel Lain