ORANG ramai digesa tidak membuat spekulasi berhubung kes anggota pengiring kenamaan yang didakwa memukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di Kuala Lumpur, pada 28 Mei lalu. "(Ini termasuk) mengaitkannya dengan institusi diraja," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi The Star pada Rabu. "Sebarang maklumat salah boleh menjejaskan siasatan," tambahnya. Dalam pada itu, Razarudin berkata 12 individu direkodkan kenyataan mereka berhubung perkara itu. Mereka yang dipanggil termasuk pengiring keselamatan, pekerja hotel, kakitangan Unit Tindakan Khas (UTK), doktor dan pengarah operasi Grab. ARTIKEL BERKAITAN: Pukul pemandu e-hailing OKU: PDRM siasat menyeluruh, panggil pegawai terlibat "Kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut. "Walaupun mangsa pada mulanya menarik balik laporan polis, berdasarkan rakaman lanjut kenyataannya, dia mahu meneruskan kes itu," kata Razarudin. Media sebelum ini melaporkan, pemandu e-hailing OKU berkenaan mendakwa dipukul pengawal pengiring ketika menunggu penumpang di sebuah hotel. Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala ketika diminta untuk mengalihkan kenderaannya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube