suria

“Dah lama nak makan udang tapi itu saja yang ada” – Hidangan mi segera siswi alas perut dikata pelik, sebenarnya berkorban takut lari bajet

Perkongsian Hannan di Twitter yang memuat naik gambar semangkuk mi segera yang ditabur dengan makanan ringan mencuri perhatian netizen sehingga ia meraih 7,800 retweet, malah ada yang mengecammnya kerana mempunyai selera pelik.

KEHIDUPAN sebagai seorang pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) sememangnya tidak boleh lari daripada pelbagai dugaan, khususnya hal berkaitan kewangan.

Kos perbelanjaan untuk yuran, makanan, bahan pembelajaran, sewa rumah dan sebagainya kadang-kadang menuntut kos yang bukan sedikit.

Justeru, pasti ada yang terpaksa mengikat perut sebagai langkah untuk berjimat cermat.

ARTIKEL BERKAITAN: Uncle Cina bantu pelajar UiTM terima ganjaran, tempias ke siswi juga - “Cadang nak sedekah tolong kawan-kawan susah” 

ARTIKEL BERKAITAN: Siswi makan mi segera, biskut kering untuk jimat break down gara-gara baki duit tercicir, mujur uncle Cina bawa MyCar penyelamat – “Kalau diizinkan jadi peguam saya nak tolong uncle”

Begitulah juga dengan situasi yang dilalui seorang gadis ini.

Hanya mahu dikenali sebagai Hannan, dia yang juga penuntut di sebuah IPT awam tidak terkecuali menjadikan mi segera sebagai makanan penyelamat ketika kesempitan wang.

Namun begitu, perkongsian gadis ini di Twitter yang memuat naik gambar semangkuk mi segera yang ditabur dengan makanan ringan mencuri perhatian netizen, sehingga ia meraih 7,800 retweet.

Perkongsian Hannan di Twitter mengundang perhatian netizen sehingga meraih 7,800 retweet.

Bukan itu sahaja, ia turut mengundang reaksi yang pelbagai daripada netizen di mana ada sebahagiannya mengecam tindakan gadis tersebut dan menyifatkan seleranya sebagai ‘pelik’.

Berkongsi cerita dengan mStar, Hannan menjelaskan niatnya hanyalah sekadar mahu berkongsi gambar tersebut di laman sosial, namun tidak menyangka ia menjadi bahan kecaman netizen.

“Sememangnya saya sedang mengikat perut kerana sebagai pelajar, saya perlu berjimat cermat, tambahan pula saya banyak perlu gunakan wang untuk tujuan pembelajaran sekarang.

“Hari itu, saya memang tak makan daripada pagi. Kedai makan berdekatan kolej pula tak buka sebab cuti, dan saya tak pulang cuti semester kerana perlu menyiapkan beberapa tugasan. Hanya ada mi segera saja dan makanan ringan, jadi saya makan dan hargai apa yang ada,” ujarnya.

Antara komen netizen pada gambar mi segera yang dimuat naik oleh Hannan.

Tambah pelajar semester tiga Diploma Pengurusan Seni ini, sebagai pelajar yang hanya bergantung sepenuhnya kepada wang perbelanjaan yang diberikan ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk berjimat cermat selagi mampu.

“Jurusan saya banyak terlibat dengan acara dan program secara berperingkat-peringkat. Jadi saya biasanya akan membuat perkiraan dan bajet untuk setiap bulan, dengan mengutamakan perbelanjaan untuk pembelajaran terlebih dahulu.

“Adalah lumrah untuk saya kurangkan perbelanjaan makanan. Kalau nak tengok wayang atau beriadah, memang dah lama terpaksa korbankan sebab takut lari bajet,” ujar gadis berusia 19 tahun ini yang turut berniaga aksesori secara dalam talian (online) untuk mendapatkan duit poket lebih.

Cara hidup saya dengan orang lain berbeza. Kita semua ada rezeki masing-masing. Ada yang perlu bekerja keras untuk dapatkan makanan, ada yang sebaliknya. Sebenarnya saya teringin nak makan mi segera dengan udang tapi yang ada hanya keropok udang. Namun saya hargai apa yang ada.

HANNAN

PELAJAR

Bercerita lebih lanjut, Hannan berkata dia langsung tidak ambil hati atau berasa tertekan dengan komen negatif netizen kerana berpendapat, setiap orang mempunyai rezeki dan bahagian masing-masing yang sudah ditentukan.

“Kalau orang lain nak kecam kerana makanan itu pelik atau teruk, terpulang. Saya okay saja untuk makan mi segera, selagi mana ia tak menjejaskan kesihatan tubuh badan,” ujarnya.

Selain komen negatif yang dilemparkan kepada Hannan, tidak kurang ada juga segelintir netizen yang berkongsi selera ‘pelik’ mereka bersama gadis tersebut.

“Cara hidup saya dengan orang lain berbeza. Kita semua ada rezeki masing-masing. Ada yang perlu bekerja keras untuk dapatkan makanan, ada yang sebaliknya. Sebenarnya saya teringin nak makan mi segera dengan udang tapi yang ada hanya keropok udang. Namun saya hargai apa yang ada,” ujarnya mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain