suria

“Saya acah-acah macho, first time pakai kasut kulit tumit tinggi” - Graduan ‘ghaib’ selepas jatuh tangga masa konvo tergelak tengok diri sendiri

Muhamad Arif tidak menyangka video rakaman secara langsung dia terjatuh semasa menuruni tangga pada majlis konvokesyen menjadi tular. Foto ihsan Muhamad Arif Hakimi Ariffin

MUSIM konvokesyen sentiasa memberikan kenangan manis dan momen menyeronokkan termasuk aksi lucu yang mencuit hati.

Seorang graduan menjadi perhatian di media sosial gara-gara terjatuh ketika turun tangga di dalam dewan pada hari konvokesyennya.

Malah, sebahagian warganet mengakui berulang kali menonton video berdurasi 11 saat itu yang menyaksikan graduan yang jatuh itu terus ‘ghaib’ dari pandangan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Eh! Mana skrol?” - 'Graduan terlajak' hairan jalan berlenggang, alasan 'nervous' ketika dipeluk ibu

Bercakap kepada mStar, graduan berkenaan, Muhamad Arif Hakimi Ariffin berkata, kejadian berlaku di Dewan Sultan Iskandar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor, pada Selasa.

Muhamad Arif menamatkan pengajian Diploma Sains Komputer (Multimedia) di UTMKL.

Graduan UTM Kuala Lumpur (UTMKL) berusia 21 tahun itu memberitahu terdapat tiga skrin besar dipasang di hadapan dewan yang menyiarkan rakaman secara langsung suasana sekitar majlis konvokesyen termasuk kehadiran tetamu.

“Ada tiga skrin besar kat depan pentas. Pihak universiti ada buat rakaman secara langsung semasa graduan turun tangga ke tempat duduk.

“Rakaman nampak jelas setiap graduan, jadi saya pun jalan tegak pandang ke depan ‘acah-acah macho’ semasa berjalan masuk ke dalam dewan. Mestilah nak kena control macho kan,” katanya kepada mStar.

Bersama rakan-rakan yang turut menamatkan pengajian.

Muhamad Arif berkata, pada hari tersebut juga dia buat pertama kali memakai kasut kulit untuk penampilan berbeza sempena hari konvokesyen.

“Sudahlah first time pakai kasut kulit, tumitnya tinggi sedikit. Masa saya jalan menegak pandang depan tu tak tengok bawah, dan tak perasan ada anak tangga kecil.

“Tiba-tiba saya terjatuh tersungkur ke depan macam bersujud, macam nak tergolek. Keadaan berlaku begitu pantas masa jatuh tu tapi saya ambil masa agak lama juga untuk bangun semula sebab momentum dah ke depan ketika itu,” ujar draduan Diploma Sains Komputer (Diploma) itu.

Keluarga turut hadir memberikan sokongan.

Menurut anak jati Bayan lepas, Pulau Pinang itu, dia bersyukur kerana sempat berpaut pada tempat duduk di sebelah tangga ketika tersungkur, sekali gus mengelakkan daripada insiden lebih buruk berlaku.

“Nasib baik saya sempat berpaut pada kerusi, hanya tersungkur dan tak tergolek masa tu. Sebab masa tu ada ramai graduan di hadapan saya, semua fokus turun tangga.

Agaknya kalau saya terus jatuh tergolek, kedudukan saya begitu dekat dengan yang di depan, rasanya lagi ramai yang sama jatuh macam domino, tu lagi haru. 

MUHAMAD ARIF

“Agaknya kalau saya terus jatuh tergolek, kedudukan saya begitu dekat dengan yang di depan, rasanya lagi ramai yang sama jatuh macam domino, tu lagi haru. Nanti bukan saya seorang saja yang viral, tapi semua sekali,” katanya secara berseloroh.

Anak sulung daripada lima adik beradik itu bagaimanapun tidak tersinggung apabila videonya terjatuh itu menjadi bahan jenaka di media sosial.

Malahan, dia sendiri turut berasa lucu kerana selama ini hanya melihat pengalaman orang lain yang mencuit hati sempena hari konvokesyen.

“Saya sendiri terhibur dengan video live saya jatuh tangga tu. Kalau saya ulang sampai 100 kali pun saya masih tergelak tengok diri sendiri, apatah lagi orang lain.

“Paling kelakar bila mak ayah saya ada menjadi tetamu dalam dewan tu pun tengok. Mereka kata nampak saya, eh lepas tu ghaib terus hilang hahaha,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
UTMKL, UTM, konvo, Dewan Sultan Iskandar

Artikel Lain