suria

Bukan peminat kucing, tapi peniaga ini rela jadi ‘ibu angkat’ si bulus jalanan... hari-hari jamu sup ayam! - “Rezeki saya terselit rezeki mereka juga”

Wanita bernama Siti Rabiyatul tidak pernah lokek menjamu kucing jalanan dengan sup ayam, setiap hari.

BUKAN seorang peminat atau pencinta kucing pada awalnya, namun siapa sangka wanita ini akhirnya menjadi 'ibu angkat' kepada berbelas-belas ekor anak bulus jalanan.

Malah, wanita ini juga langsung tidak lokek atau merasa rugi mengeluarkan belanja bagi menyediakan makanan untuk si bulus setiap hari.

Sebagaimana perkongsian yang dimuat naik di Facebook, wanita ini berkongsi rutinnya menyediakan hidangan istimewa berupa sup ayam buat haiwan berkenaan setiap hari sebelum keluar berniaga.

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara takut tapi kesian, wanita ini ‘kaji’ dulu gelagat anjing tak bertuan dekat rumahnya... kini hubungan dah ngam! - “Girl selalu lapar, tapi tertib”

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat abang bomba! Hanya seru ‘mai mai’ kucing terbiar lari pecut terkam pagar rumah – “Saya buka peti ais pun depa dah cam”

"Rutin seorang mak angkat kucing, setiap hari sebelum pergi niaga Bubur Ayam Malique mesti mak bersilat dekat dapur dulu buatkan sup anak-anak untuk pastikan anak-anak dalam dan belakang rumah tak kelaparan," demikian tulisnya pada perkongsian yang dimuat naik di halaman Kucing Sepahkan Apa Hari Ini.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang dikenali sebagai Siti Rabiyatul berkata, dia mula 'konsisten' menyediakan hidangan buat kucing jalanan di sekitar rumahnya sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.

"Saya mula konsisten bagi mereka makan sup ayam semenjak saya mulakan perniagaan makanan ketika awal PKP. Awalnya saya hanya beri sisa makanan dan biskut.

"Semenjak niaga saya merasakan satu kerugian untuk saya buang segala sisa selepas mencuci ayam. Jadi saya rebus organ dalaman ayam dan berikan kepada stray cat di belakang rumah," katanya kepada mStar.



Siti Rabiyatul akan menyediakan sup ayam untuk 'anak-anak angkatnya' sebelum dia keluar berniaga.

Bermula dengan hanya beberapa ekor kucing, lama kelamaan jumlah haiwan itu makin bertambah dan kini Siti Rabiyatul sudah menjadi 'ibu angkat' kepada 16 ekor anak bulus jalanan.

"Portion makanan yang saya hidangkan juga bertambah dari satu kilogram hingga empat kilogram organ ayam termasuk hati, kaki, pedal, leher, perut, jantung serta satu kilogram isi ayam.

"Sup ayam direbus kosong dengan tambahan seketul kiub ayam sahaja. Mereka sangat gemar dengan kuah sup tersebut. Kucing kucing itu akan berkumpul di belakang rumah seawal 10 pagi, kalau lambat semua tenung macam nak telan," katanya berseloroh.

Mengusahakan perniagaan Bubur Ayam Malique di Kebayan Taman Cendana, Pasir Gudang, ibu kepada dua cahaya mata ini berkata rutin yang dilakukan sejak sembilan bulan lalu itu ternyata memberikannya kepuasan kerana dapat berkongsi rezeki sesama makhluk.



Kucing-kucing jalanan ini akan menunggu di rumah Siti Rabiyatul seawal pukul 10 pagi setiap hari.

"Semasa awal perniagaan, jualan saya agak kurang sambutan. Saya selalu berikan sisa ayam goreng yang tak terjual kepada kucing dan anjing jalanan.

"Dari situ perniagaan saya mula mendapat sambutan dan mampu bertahan sehingga kini. Alhamdulillah, saya yakin rezeki yang saya terima, ada terselit rezeki untuk mereka juga," katanya.

Menurut wanita berusia 26 tahun ini, dia bukanlah seorang peminat kucing namun ia bertukar sebaliknya sejak melahirkan anak pertama.

Portion makanan yang saya hidangkan juga bertambah dari satu kilogram hingga empat kilogram organ ayam termasuk hati, kaki, pedal, leher, perut, jantung serta satu kilogram isi ayam.

SITI RABIYATUL

PENIAGA

"Waktu saya mengandungkan anak pertama pada 2015, saya mula minat dengan kucing. Saya mula bagi makan dan bermain dengan kucing.

"Sehingga sekarang, anak saya dah berusia empat tahun dan dia sentiasa ada bekalan makanan kucing seperti biskut. Ke mana mana saja kami pergi, anak saya akan bagi makan pada setiap kucing jalanan yang dia jumpa.

"Sekarang kami ada 10 ekor kucing belaan berbaka British Short Hair dan Domestic Long Hair. Sejak mula berniaga, saya hantar pulang ke kampung untuk jaga kualiti dan kebersihan dalam pengurusan makanan yang saya jual



Siti Rabiyatul meniaga bubur ayam dan ayam goreng sejak PKP, Mac lalu.

"Sehingga sekarang hanya ada dua ekor saja kucing belaan di rumah iaitu kucing kesayangan anak saya," katanya.

Tidak menyangka mendapat reaksi dan maklum balas positif netizen sejak memuat naik perkongsian berkenaan, Siti Rabiyatul turut menitipkan nasihat kepada masyarakat agar tidak lupa berbagi rezeki sesama mahkluk.

"Bersedekahlah kepada manusia mahupun haiwan mengikut kemampuan. Mungkin takkan kaya tapi InsyaAllah rezeki itu akan sentiasa ada untuk kita," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain