suria

Jejaka ini ubah botol kicap jadi pasu bunga comel... niat nak ajar DIY, tapi ramai pula minta nak beli sebab malas buat sendiri

Botol kicap terpakai yang diubah menjadi perhiasan rumah oleh Hasz menerima pujian ramai.

KALAU dah kreatif, barang terbiar pun boleh jadi lawa.

Di aplikasi TikTok misalnya, video-video DIY (do it yourself) pelbagai item dekorasi rumah oleh seorang pelajar bidang Rekaan Fesyen tular dan mencuri tumpuan ramai.

Terbaharu, nama Hazrul Hadi Salim @ Moza sekali lagi dihujani dengan pujian apabila dia mengubah botol terpakai menjadi pasu bunga yang comel.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Interior Design jelmakan sentuhan magis di kamar tidur, ibu 'teringin' siap buat permintaan khas

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Dari dalam rumah hingga ke pagar, dekorasi ibu 'meriah'... sanggup cat basikal lama buat hias laman

Menurut jejaka dari Kota Kinabalu, Sabah itu, minat terhadap penghasilan barangan kreatif sudah bercambah sejak sekian lama.

Namun, minat itu kembali menebal gara-gara kelapangan waktu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini.

"Saya buat DIY sejak sekolah menengah lagi. Sekarang aktif balik sebab ada banyak masa terluang.

"Saya juga baru saja habis belajar pada bulan lepas, jadi saya buat aktiviti ini sementara belum bekerja.

"Penghasilan barangan DIY agak menguji kesabaran sebenarnya, kita nak buat bagi betul-betul nampak kemas, " ujarnya kepada mStar.

hasz2

Hasz berasal dari Sabah, namun kini menetap di ibu negara.

Kini menetap di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dia yang mesra disapa Hasz mendedahkan idea mengubah botol kicap dan botol minuman soya menjadi pasu bunga bermula selepas salah seorang pengikutnya memberikan idea dan cadangan kepadanya.

Namun katanya, dia banyak mempelajari teknik asas secara dalam talian termasuklah mencari ilham menerusi YouTube dan Pinterest.

Pada saya, setiap orang ada taste masing-masing.

HASZ

"Memang saya hasilkan sendiri, cuma teknik untuk buat ikatan tali saya belajar di YouTube. Saya buat sebab ada orang request supaya cuba hasilkan hiasan menggunakan botol kicap terpakai.

"Kata individu tersebut, rumahnya banyak botol kicap, dia tanya boleh ke sekiranya ia dijadikan sebagai hiasan?

"Ada juga yang komen dan mesej, mereka minta saya buat perhiasan DIY menggunakan gayung, lidi sate dan tisu. Selagi ada masa, saya akan cuba hasilkan dengan penuhi permintaan mereka," ujarnya.

hasz3

Antara hasil DIY oleh jejaka itu.

Kata Hasz lagi, selain individu yang menjadikan videonya sebagai rujukan untuk melakukan DIY di rumah masing-masing, ada yang turut meluahkan hasrat membeli barangan yang dihasilkannya.

Namun kata Hasz, dia belum berkesempatan untuk meneroka ke arah itu dan kini sekadar melakukan secara skala kecil untuk dirinya sahaja.

"Ada yang minta nak beli barangan DIY yang saya hasilkan. Mereka komen dan juga mesej saya di media sosial.

"Ada yang nak beli sebab mereka malas nak buat sendiri. Tapi saya tak terfikir untuk jual, saya pun buat menggunakan bahan yang ada di rumah saja.

"Buat masa sekarang belum lagi," ujarnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Kata Hasz, dia juga terharu dan rasa dihargai apabila ramai yang memberikan komen positif.

Malah katanya, segelintir komen negatif yang ditinggalkan dilihat sebagai pembakar semangat untuk dia berkarya lagi pada masa akan datang.

"Ada juga yang komen negatif, tapi tak ramai. Macam mempertikaikan bila ada orang puji barangan itu cantik.

hasz4

Busana yang dihasilkan oleh Hasz.

"Saya tak kisah pun, ambil sebagai pembakar semangat saja. Pada saya, setiap orang ada taste masing-masing, " katanya lagi.

Selain transformasi botol terpakai menjadi pasu, video dia membuat perhiasan cermin dinding turut meraih ratusan ribu tontonan di TikTok.

Untuk rekod, Hasz memiliki lebih 28,000 pengikut TikTok dan 31,000 pengikut Instagram.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain