suria

Oyen tumpang lori sayur ke Singapura tapi ‘tak lepas’ di sempadan! Kini tinggal di JB, jadi kesayangan famili

Oyen kini dijaga oleh pemilik baharu selepas diselamatkan di sempadan Singapura.

KUCING berwarna oren yang biasanya digelar sebagai Oyen kerap dikaitkan dengan sifat nakal serta gelagat tidak masuk akal.

Terbaharu, tular kisah seekor lagi Oyen dari Malaysia yang 'tersesat' di atas lori sayur sehingga nyaris dibawa ke Singapura.

Menurut seorang gadis yang menggelarkan dirinya sebagai Melur, dia kini menjadi pemilik kucing tersebut selepas ia diselamatkan di sempadan negara, baru-baru ini.

oyane2

Oyen cepat menyesuaikan diri bersama 'keluarga' baharu.

"Saya tak tahu macam mana si Oyen tolol ni boleh terlepas naik lori sayur nak ke Singapura. Masa dalam perjalanan ke Kastam, pemandu lori tu perasan macam ada bunyi dalam lori.

"Jadi dia berhenti sekejap dan tengok ada si Oyen ni. Kemudian dia letak dalam sangkar sebab risau, takut dia lompat ke apa.

"Kemudian dia serahkan Oyen ni dekat adik ipar saya. Suruh bawa balik jaga sebab kesian. Adik ipar saya kerja bahagian eksport dekat Singapura," ujar Melur.

Dia punya tahap tolol makin menjadi-jadi. Nasib baik comel.

MELUR

Bercerita lanjut kepada mStar, Melur yang menetap di Johor Bahru berkata kucing itu dijumpai pada 21 Mei lalu dan sudah dua minggu berada dalam jagaannya.

Tambah Melur lagi, dia turut membuat hebahan menerusi media sosial bagi mencari pemilik asal kucing berkenaan.

"Oyen ni jinak gila dan siap ada rantai. Mungkin orang punya. Saya post kat group kucing dan tunggu, tapi tak ada pun yang tuntut.

ARTIKEL BERKAITAN: Oyen sarat mengandung suka berak di rumah jiran, hantar ‘warning’ tapi tak jalan... Lelaki berang akhirnya jumpa solusi, selesai masalah!

ARTIKEL BERKAITAN: Sekeluarga ketawa lihat drama Oyen salam raya, gamat satu rumah selepas terkeluar cerita ‘rakam abang bogel’

"Disebabkan tak ada yang tuntut, jadi kami pun jagalah dia. Dan Oyen tak bising langsung ya masa malam pertama tu. Dia hanya berlegar-legar dalam rumah," cerita Melur lagi.

Dalam perkembangan terbaharu, Melur berkata Oyen kini semakin jinak, malah turut menjadi 'sahabat baik' untuk seekor lagi kucingnya yang lumpuh.

"Sekarang tengoklah. Dia punya tahap tolol makin menjadi-jadi. Nasib baik comel. Dah la ada kucing saya seekor lagi.

melur

Melur berkongsi kisah kucing itu menerusi Twitter.

"Mochi yang lumpuh tak boleh gerak tu, Oyen ni suka buli main ekor Mochi. Mentang-mentang la Mochi tak boleh bergerak.

"Apa-apa pun Oyen kini sebahagian keluarga kami. Walaupun awak tolol dan suka kacau saya masak dan makan, kami tetap sayang awak Oyen," ujarnya lagi.

Perkongsian Melur di Twitter pada Khamis meraih hampir 4,000 ulang kicau (retweet).

oyen5

Melur turut memiliki seekor kucing lumpuh yang dinamakan Mochi.

Malah, ramai netizen turut memuji tindakannya yang sanggup menerima kucing itu dan mendoakan agar dia sekeluarga terus dimurahkan rezeki.

"Murah rezeki kau nanti kak. Kucing-kucing misteri macam ni biasa bawa rezeki.

"Bagus pemandu lori tu. Kalau orang lain, silap-silap dia lepas je tepi jalan.

"Terima kasih sebab sudi jaga Oyen yang comel ini. Semoga Allah permudahkan urusan awak," tulis netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain