suria

Mayat Liam Payne dijangka kebumi bulan depan

Mayat Liam dijangka dikebumikan di England pada awal November.

UPACARA pengebumian bekas anggota kumpulan One Direction iaitu Liam Payne dijangka berlangsung pada November depan selepas laporan bedah siasat penyanyi berkenaan diterima.

Mirror melaporkan, bapa Liam iaitu Geoff berangkat ke Argentina bagi mengenal pasti mayat secara rasmi dan mengatur proses penghantaran mayat untuk dibawa pulang ke England.

Difahamkan, mayat Liam berkemungkinan akan kekal berada di Argentina sekitar 10 ke 15 hari sehingga keputusan ujian toksikologi diketahui.

liam - 1

Kematian Liam mengejutkan ramai peminat.

Ini bermakna upacara pengebumian hanya akan dilakukan pada awal bulan November sebaik mayat mendiang tiba di England.

Sebelum ini, keputusan awal bedah siasat yang dilakukan oleh Pusat Perubatan Forensik di Rumah Mayat Kehakiman, Viamonte Street mendedahkan Liam meninggal dunia akibat pelbagai trauma yang menyebabkan berlakunya pendarahan dalaman dan luaran.

Laporan tersebut menyatakan kajian toksikologi dan anatomi-patologi darah dan air kencing Liam sedang dijalankan untuk menentukan sama ada terdapat sebarang kesan dadah.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas anggota One Direction Liam Payne maut, ditemukan terjatuh dari balkoni hotel

ARTIKEL BERKAITAN: Polis jumpa ubat anti epilepsi dan serangan panik dalam bilik hotel Liam Payne

Selain itu, pihak forensik turut melakukan siasatan atas sejarah perubatan dan kesihatan mental penyanyi berkenaan.

Keputusan bedah siasat penuh akan didedahkan dalam masa terdekat.

Pada 16 Oktober, dunia hiburan dikejutkan dengan berita kematian Liam yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga balkoni sebuah hotel di Buenos Aires, Argentina.

Punca kematian Liam masih menjadi tanda tanya ramai meskipun makluman awal mengesahkan ia berkaitan dengan dadah dan minuman alkohol.

Hasil siasatan dilakukan di bilik tempat Liam menginap mendapati ia berada dalam keadaan berselerak selain berlaku kerosakan pada fasiliti hotel seperti televisyen.

Malah pihak berkuasa tempatan turut menemui ubat jenis clonazepam yang digunakan untuk mengawal epilepsi serta serangan panik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain