Farid tampil dengan kedua-dua belah telinganya bertindik di majlis pelancaran drama bersiri Lagenda Budak Setan di ibu kota, Isnin. - Foto oleh MOHD SAHAR MISNITIDAK pernah sekali pun melihat aktor Farid Kamil tampil dengan kedua-dua belah telinganya bertindik di khalayak.Bagaimanpun dia sanggup melakukan perkara itu demi menjayakan watak Kasyah dalam siri Lagenda Budak Setan. Penampilan baru Farid dengan telinga yang bertindik itu dilihat pada malam pelancaran drama 26 episod itu di Teeq Brasserie, Bukit Bintang, Isnin.Drama itu akan disiarkan di Astro Prima (saluran 105) mulai 10 Ogos ini, setiap Selasa, pukul 10.30 malam.Kata pengarah muda itu, penampilan tersebut hanya boleh dilihat dan istimewa pada malam itu sahaja.“Saya memakai subang di kedua-dua belah telinga untuk menjayakan pelancaran drama bersiri Lagenda Budak Setan pada malam ini sahaja,” katanya kepada mStar Online.Sesuai dengan watak Kasyah, pelajar nakal yang sering membuli dan mengenakan pelajar lain begitu menepati dan kena dengan penampilan pemuda yang dikaitkan dengan aktres Diana Danielle itu.Sebelum ini, Farid menyimpan kemas kisah cintanya dengan aktres muda itu dan mungkin dia sudah bersedia untuk merungkai segala-galanya memandangkan kekasih hatinya itu dikatakan pernah memakai subang berhuruf F dan K mewakili nama Farid Kamil di kedua-dua belah telinganya.Puas dipujuk, nampaknya teka-teki itu masih belum terjawab memandangkan Farid enggan memberikan apa-apa komen. Alasannya, dia lebih senang bercakap soal karier berbanding cinta.Bercerita mengenai lakonannya dalam siri itu, Farid akui banyak perubahan yang dilakukan. Antaranya, Farid tampil dengan rambut pendek berbanding dalam filem berkenaan.“Siri ini lebih menyeluruh dan melankolik. Corak persembahannya juga sama sekali berubah. Jadi, saya sampaikan seperti apa yang terdapat dalam novel.“Tahap lakonan saya masih sama seperti dalam filem tetapi untuk siri ini kita kembangkan plotnya. Jadi, ada sesetengah babak lakonan saya dalam siri ini tak pernah dipaparkan dalam filem sebab siri ini menceritakan tentang watak Kasyah dari zaman kanak-kanak, pelajar sekolah, pelajar kolej sehingga alam dewasa,” ujarnya.Selain Farid, pelakon lain yang turut menjayakan siri arahan Along Kamaruddin itu adalah Maslina Nasir sebagai Ayu, Jue Aziz (Emilia), Melissa Maureen Rizal (Katerina), Nas T (Azmi), Arifah Damanhuri (Mak Leha) dan Ngasriah Ngasri (Suzana).Melihat senarai pelakon ini, Farid tampil sebagai ‘tiang seri’ memandangkan semuanya merupakan muka baru cerita yang diadaptasi dari novel Lagenda Budak Setan hasil tulisan Ahadiat Akasyah.“Saya rasa seronok dengan pengalaman baru ini apabila berpeluang bergandingan dengan pelakon-pelakon muda dan baru. Cerita ini mengangkat budak bernama Kasyah dan saya perlu membawa ceritanya.“Jadi sama ada wajah baru atau lama, pelakon-pelakon itu hanya aksesori yang mencantikkan jalan ceritanya. Apa yang saya lihat, gandingan bersama-sama mereka sesuai dengan penayangan cerita ini di televisyen.“Saya berharap impak penonton yang diberikan kepada siri televisyen Lagenda Budak Setan ini sama dengan impak menerusi filem,” katanya yang sedang sibuk dengan penggambaran filem Apokalips.Farid memikul watak utama bernama Paduka Ayahanda X dalam filem arahan sutradara Mamat Khalid itu.Filem itu menceritakan tentang beberapa kumpulan manusia yang hidup ketika zaman 2046 selepas perang dunia nuklear.Graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Kreatif (Seni Layar) itu juga sedang menantikan kemunculan filem lakonan dan arahannya, Kongsi termasuk dua buah filem lakonannya yang lain, Cuti-Cuti Cinta dan Aku Masih Dara di mana kesemuanya diterbitkan oleh Metrowealth Movies Productions.