JUARA Imam Muda Asyraf (gambar) mengajak para remaja melepak dan menghabiskan masa masjid atau surau.Memandangkan bulan Ramadan ini menuntut umat Islam mengerjakan solat terawih, bagi Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26, tidak salah sekiranya remaja melepak di masjid atau surau berbanding di tempat lain. Sekurang-kurangnya dengan mengajak remaja walaupun hanya duduk di tepi masjid atau surau, mampu meninggalkan kesan yang baik kepada mereka pada masa akan datang.Mungkin dengan cara tersebut, para remaja akan terbuka hati untuk sama-sama melakukan solat dan mengimarahkan rumah ibadat.Selepas memenangi program realiti kelolaan Astro Oasis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu, Asyraf kembali menjalankan tugasnya sebagai imam di Masjid Desa Petaling, Kuala Lumpur.Untuk bulan Ramadan ini, tugas imam muda yang berasal dari Sungai Gelugor, Pulau Pinang itu tidak hanya terikat di Masjid Desa Petaling sahaja sebaliknya dia akan ke beberapa masjid di dalam dan luar Kuala Lumpur.Dia bukan sahaja dijemput untuk mengimamkan solat Maghrib, Isyak dan terawih malah ada juga sesetengah masjid yang menjemputnya berbuka puasa, menyampaikan tazkirah, qiamulail, serta kuliah Subuh dan Zohor.Asyraf yang berpengalaman menjadi imam di Masjid Desa Petaling sejak Januari tahun ini akui tanggungjawabnya semakin mencabar namun dia akan cuba melakukan yang terbaik demi menggalas tugas sebagai imam.“Insya-Allah, saya akan cuba menarik lebih ramai golongan muda ke masjid kerana kebiasaannya mereka hanya akan datang atas faktor tertentu.“Saya rasa mulai sekarang, kita sepatutnya memberi peluang kepada golongan muda untuk melaksanakan tugas-tugas di masjid. Jangan membuat persepsi awal yang mereka tidak mampu melakukannya kerana dengan cara itu mereka akan rasa layak untuk menjadi orang masjid,” katanya yang mempunyai kontrak dengan Astro selama tiga bulan lagi.Buat masa ini, dia akan terikat dengan beberapa aktiviti yang diatur oleh Astro. Barangkali selepas ini, dia bakal bergelar peniaga yang setakat ini sudah ada dalam perancangannya disamping menjawat jawatan imam dan guru tuisyen mengaji al-Quran dari rumah ke rumah.Biar apa pun, sebelum berniaga, anak kedua dari lima beradik kepada pasangan Mohd Ridzuan Yusoff, 55, dan Robiah Bakar, 55, itu akan menamatkan pengajian peringkat Sarjananya di Universiti Malaya terlebih dahulu.“Selepas selesai dengan Imam Muda, saya rasa kehidupan saya tidak terlalu berubah dengan drastik sebaliknya biasa-biasa sahaja. Tetapi apabila ke masjid, ada juga yang memberikan ucapan tahniah atas kemenangan saya dan menegur sapa.“Bagaimanapun, apa yang lebih penting kepada saya selepas ini adalah untuk menjaga diri-sendiri kerana ramai ulama dan tokoh Islam yang memerhati serta memberikan nasihat kepada saya. Sekarang, pandangan orang terhadap saya terbahagi kepada dua iaitu bertanggungjawab sebagai imam dan imam muda,” beritahunya yang sudah berkahwin dengan Nurhusna Yusof, 23.Sempena bulan Ramadan, Asyraf sempat berpesan kepada semua umat Islam agar menganggap bulan ini sebagai Ramadan yang terakhir dalam hidup kita.