Zizan NinKUALA LUMPUR: Pelakon Zizan Nin tidak ditawarkan menyertai pementasan teater Muzikal Tun Mahathir (MTM) musim kedua selepas pihak pengurusannya dikatakan menuntut bayaran yang tidak munasabah iaitu sebanyak RM40,000 untuk membawa watak mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.Penerbit teater muzikal itu, Siti Rohayah Attan berkata, pihaknya terkejut apabila syarikat pengurusan artis tersebut, Aquila Emas, meminta bayaran sedemikian yang disifatkan sebagai keterlaluan. "Bayaran sebanyak itu memang tidak logik sedangkan pelakon-pelakon lain yang lebih berpengalaman daripadanya tidak pernah meminta bayaran sebanyak itu," katanya kepada pemberita pada majlis sidang media pementasan MTM, di Istana Budaya, Khamis.Menurutnya, pada pertemuan pertama diantara pihaknya dengan Zizan, pelakon berkenaan bersetuju dengan tawaran yang diberikan.Bagaimanapun pada sesi kedua pertemuan yang dilakukan dengan pihak pengurusan Zizan pula, mereka meminta bayaran sehingga RM40,000.Katanya, pada kebiasaan pementasan teater untuk kali kedua, pelakon akan dibayar dengan jumlah kurang daripada pementasan pertama kerana tempoh latihan yang lebih pendek."Masa perbincangan kali kedua, pihak kami memberitahu untuk mengurangkan bayaran kepada Zizan sebanyak RM3,000 kerana dia tidak perlu menjalani latihan tiga bulan seperti sebelum ini sebaliknya hanya perlu berlatih dalam masa 30 hari sahaja."Disebabkan kami masih memerlukan khidmat Zizan, pihak produksi akur dan tetap menawarkan harga yang sama seperti musim pertama tetapi pihak Zizan tetap berkeras untuk mendapat harga yang diminta."Apabila jadi macam ni, kami agak kesal. Kami sayangkan Zizan kerana dia seorang yang komited dengan kerjanya. Malah dia antara pelakon yang hadir ke sesi latihan paling awal sebelum ini."Permintaan daripada pihak pengurusannya benar-benar mengejutkan kami," ujarnya yang sedang mencari pelakon sesuai untuk menggantikan Zizan.Sementara itu, pemegang watak utama Tun Dr. Siti Hasmah, Erra Fazira juga tidak dapat menjayakan MTM2 kerana mempunyai komitmen lain serta jadual kerja yang padat.MTM musim kedua akan dipentaskan pada 21 hingga 30 Januari 2011 di Panggung Sari Istana Budaya dengan kerjasama Istana Budaya, Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sementara CTRA Production sebagai penerbitnya.Pementasan semula MTM2 menjadi teater pertama di negara ini yang dipentaskan semula dalam tempoh masa yang singkat.Beritahu Rohayah, keputusan mementaskan semula teater tersebut kerana respons yang diberikan daripada penonton dan keinginan Tun Mahathir sendiri untuk menyaksikan teater itu memandangkan dia tidak berkesempatan menonton pada pementasan pertama."Saya telah mendapat keizinan daripada Tun sendiri untuk mementaskan semula teater ini dan dia memberi keizinan melalui surat yang diberikan pada 29 Oktober lalu iaitu 20 hari selepas pementasan pertama MTM."Dalam pada itu, pihak kami akan meneliti semula skrip dan akan memendekkan babak-babak yang tidak diperlukan," katanya.Antara pelakon yang terlibat ialah Esma Daniel, Misha Omar, Datuk Jalaluddin Hassan, Diana Johor dan AC Mizal.Tempahan tiket berharga RM32, RM52, RM82, RM102, RM152 dan RM302 boleh dibeli melalui www.tivket2u.biz atau di kaunter box office dan Istana Budaya.