Shahir AF8PETALING JAYA: Penyanyi Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir (AF8) menganggap masalah disiplin sering dikaitkan dengannya sebelum ini sudah selesai berikutan kesihatannya yang semakin pulih.Kata Shahir, dia mengaku perkara tersebut telah menimbulkan salah faham banyak pihak dan lebih parah ada yang menokok tambah tentang masalah yang dihadapinya itu. “Masalah disiplin dulu terjadi berikutan kesihatan saya. Sekarang saya sudah sihat. Saya tiada masalah lagi.“Apa yang saya kesalkan ketika saya berhadapan dengan masalah itu, ada juga yang menokok tambah tentang cerita tersebut sehingga menjadi satu kontroversi besar,” katanya.Tambah Shahir, banyak perkara yang didengar sesetengah pihak ialah cerita “cakap-cakap mulut” tanpa mengetahui perkara sebenar.“Saya tahu ramai yang sebarkan berita tersebut melalui mulut ke mulut mengenai kehidupan saya sehingga ada yang tidak pernah bekerja dengan saya juga percaya dengan berita-berita tidak benar itu.“Saya sebenarnya seorang yang sangat menghargai orang yang bekerja dengan saya,” katanya.Dalam pada itu, dia mengakui disebabkan perkara tersebut popularitinya turut terjejas.“Saya akui ia memang menjejaskan populariti dan imej saya. Ramai yang menganggap saya berubah dan sehingga satu tahap saya betul-betul rasa kecewa.“Ia memberi satu pengajaran pada saya untuk lebih berhati-hati dan bijak mengawal keadaan,” katanya.