SUBANG JAYA: Pengacara Reza Mohamed meluahkan hasrat untuk membantu golongan remaja yang terpengaruh dengan budaya lepak tanpa arah tujuan menerusi aktiviti yang dianjurkannya di Patung Studio.Bekas penyampai radio era itu berkata, hasrat tersebut mulai terdetik apabila melihat golongan muda semakin obses dengan budaya sosial sehingga membawa ke arah negatif dan menerusi studio miliknya yang ditubuhkan pada tahun lalu itu, para remaja menyertai pelbagai jenis aktiviti yang diadakan. "Zaman ini, budak-budak sekarang gemar menghabiskan masa tanpa sebab. Maklumlah dengan peredaran zaman yang serba moden dan penuh dengan kecanggihan teknologi tanpa batasan, para remaja ini mudah rosak jika tidak dibimbing."Justeru itu, saya mahu menyelamatkan mereka menerusi Patung Studio dengan aktiviti-aktiviti seni seperti menari, menyanyi, bermain muzik dan peragaan."Sekurang-kurangnya menerusi aktiviti begini mereka tidak akan membuang masa sebaliknya dapat mengasah bakat yang diminati, malah ia boleh menjadi kerja sambilan jika mahu," katanya.Tambah Reza, para remaja di luar sana tidak perlu risau mengenai harga bayarannya kerana studio yang bertempat di 52A-3, Jalan Dwitasik, Dataran Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri, 56000 Kuala Lumpur ini menawarkan harga yang berpatutan.Sementara itu, bercerita mengenai kariernya yang tidak lagi sibuk dengan urusan sebagai penyampai radio, pengacara Propaganza (KRU TV) itu berasa lega, sejak meletakkan jawatannya itu, dia lebih mudah menguruskan perniagaan studionya itu."Alhamdulillah, setakat ini pengurusan kerja saya lebih tersusun. Diakui saya agak rindu untuk berceloteh di konti radio, tapi saya percayakan kata-kata ini, untuk mendapatkan kejayaan, kita memerlukan pengorbanan."InsyaAllah, apa yang telah dikorbankan ada hasilnya. Bagaimanapun, mungkin satu hari nanti saya akan kembali sebagai penyampai radio," ujarnya tersenyum.Reza telah meletakkan jawatannya di era FM pada Diember tahun lalu.