suria

Artis Singapura, Awi Rafael Sokong Kelantangan Zed Zaidi

Awi tampil dengan album terbaru berjudul Asalkan Aku OK!. Foto NORAFIFI EHSAN.
Awi tampil dengan album terbaru berjudul Asalkan Aku OK!. Foto NORAFIFI EHSAN.
Awi tampil dengan album terbaru berjudul Asalkan Aku OK!. Foto NORAFIFI EHSAN.

PETALING JAYA: Penyanyi yang berasal dari Singapura, Awi Rafael menyokong tindakan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang begitu lantang mempersoalkan mengenai kemasukan artis dari negara luar yang ingin mencipta nama di sini.

Awi, 27, berkata, tindakan Zed tidak wajar dipandang remeh kerana ia dilakukan bagi memastikan semua artis luar mengikut peraturan dan syarat ditetapkan oleh undang-undang yang telah dibuat supaya tidak menimbulkan masalah.

"Apa yang Zed buat itu adalah bagus dan sebahagian tanggungjawabnya sebagai presiden Seniman. Saya sebagai orang luar yang datang ke Malaysia untuk mencari rezeki menyokong perjuangannya itu.

"Ia juga sebagai peringatan supaya tidak memandang remeh semua syarat yang telah ditetapkan," jelasnya.

Tambah Awi, walaupun bukan berstatus rakyat tetap di negara ini namun dia sangat gembira apabila sentiasa diberi layanan baik setiap kali menjejakkan kaki ke Malaysia.

Dalam pada itu, Awi berkata, dia bersyukur apabila syarikat rakamannya Warner Music telah memastikan kemasukannya telah dibuat mengikut peraturan dan berharap kehadirannya tidak dipersoalkan.

"Syarikat rakaman sentiasa mengambil berat mengenai soal ini dan bersyukur sebelum kedatangan saya ia telah diuruskan dengan baik," katanya.

Tambah Awi, dia juga ada merancang untuk memohon Taraf Penduduk Tetap (PR) negara ini kerana suka dengan keharmonian penduduk di negara ini.

"Perancangan itu ada tetapi mungkin satu masa yang sesuai tambahan pula saya sangat selesa apabila berada di Malaysia yang saya anggap seperti rumah sendiri," jelasnya.

Sementara itu, Awi baru sahaja muncul dengan album keduanya berjudul Asalkan Aku OK! yang telah pun berada di pasaran sejak hujung tahun lalu.

Ia memuatkan sembilan buah lagu seperti Hari-Hari Ku, My Baby You, Satu Peluang Saja, Siapa Yang Sempurna dan Elvis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain