PELAWAK popular Tauke Jambu terpaksa menangguhkan hasrat untuk berbulan madu dengan isterinya berikutan jadual kerja yang padat sejak mereka bernikah pada 9 Disember tahun lalu. Tauke, 42, berkata, jika kebanyakan pasangan pengantin baharu lain pasti teruja dan mengutamakan waktu untuk berbulan madu dia dan Nadia Mohd Afendi, 28, masih belum berani membuat sebarang ketetapan bagi tujuan itu lagi. "Kalau pasangan lain sudah tentu mereka akan teruja untuk berbulan madu tapi saya ini masih tak sempat lagi buat masa ini. "Kebetulan pula selepas nikah bulan lepas rezeki kerja agak padat jadi belum ada ruang untuk kami rancang bercuti lagi. Saya rasa sedih juga sebab sejak majlis resepsi kami itu, saya tak sempat lagi luang masa betul-betul dengan isteri. Mujurlah dia memahami. "Apa yang terbaik boleh saya buat adalah bawa dia menemani saya untuk urusan kerja sepanjang sebulan ini. Bila dah nikah ini, tak adalah segan lagi nak bawa ke hulu hilir," katanya. Tauke dan Nadia masih belum sempat berbulan madu. Pernikahan Tauke atau Zamratul Amri Zakaria dengan Nadia adalah perkahwinan kali keempat buat pelawak itu selepas lima tahun menduda dan yang pertama untuk isterinya. Pelawak itu memiliki enam anak daripada tiga perkahwinan lalu. Menurut Tauke, komitmennya dengan jadual rakaman sitkom Mamu Mami Gosip terbitan syarikat produksi pelakon Fasha Sandha yang padat sejak pertengahan Disember tahun lalu hingga kini membuatkan dia menangguhkan hasrat tersebut. "Bukan tak mahu (berbulan madu) tapi kebetulan pula rezeki untuk buat sitkom datang selepas saya bernikah. Saya salah seorang watak utama sitkom ini jadi keutamaan dan peluang ini perlu saya selesaikan dulu. "Rakaman sitkom ini pula hari-hari jadi kena tangguh dululah percutian saya dan isteri. Tapi dia (isteri) teman dan datang ke set pada kebanyakan masa jadi dapatlah kami curi-curi luang masa bersama," katanya. Tambahnya, dia memang sudah merancang untuk bercuti ke pulau sejurus selesai rakaman sitkom itu namun masih belum mempunyai lokasi dan tarikh tertentu. Tauke kini sibuk di lokasi penggambaran sitkom Mamu Mami Gosip. "Kami ada berbincang dan kalau boleh saya nak cari pantai dan laut tapi tak adalah jauh-jauh dalam Malaysia saja. Saya teringin nak cuba aktiviti riadah di laut. "Tapi lepas selesai rakaman sitkom ini saya terlibat dengan program baharu Lawak, Gegar Lawak sebagai salah seorang pembimbing bakat-bakat lawak baharu pula cuma komitmen itu kurang padat. "Mungkin itulah peluang untuk saya berbulan madu beberapa hari nanti," katanya. Tauke mengakui perkahwinan pada kali ini mendidiknya mengenai aspek kematangan dan tanggungjawab. "Saya lebih matang sekarang dan saya mahu jaga hubungan kali ini sebaik mungkin. Soal tanggungjawab adalah perkara utama yang saya tekankan," katanya yang tidak menolak jika diberikan rezeki anak pada masa akan datang.