suria

Banyak Sukan Belum Lepasi Kelayakan Olimpik : Zolkples

KUALA LUMPUR: Walaupun Sukan Olimpik di London akan berlangsung dalam tempoh setahun lagi namun terdapat sukan yang berpotensi untuk menyumbang emas kepada Malaysia, masih belum melepasi had dan masa kelayakan ke temasya tersebut.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata, sehingga kini, hanya beberapa atlet dari acara memanah dan terjun sahaja yang melepasi kelayakan ke London.

"Tempoh setahun bukan panjang kerana ada sukan seperti menembak yang hanya tinggal satu lagi pertandingan kelayakan dan penembak Malaysia belum lagi layak ke London.

"Begitu juga dengan badminton tetapi masih lagi kejohanan Siri Super sehingga pertangahan tahun depan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau melancarkan majlis Akujanji dengan atlet-atlet yang berada dalam Program Road To London 2012.

Program tersebut bertujuan untuk mencari emas pertama Malaysia dari Sukan Olimpik di London yang akan berlangsung dari 27 Julai hingga 12 Ogos tahun depan.

Seramai 76 atlet dari tujuh acara sukan yang mempunyai prospek untuk layak ke Sukan Olimpik London ialah dari sukan bola sepak, hoki, memanah, badminton, akuatik, basikal trek dan menembak terpilih dalam program tersebut.

Zolkples berkata MSN kini menunggu senarai jumlah atlet yang layak ke London bagi membolehkannya merangka program bagi atlet tersebut.

Trio memanah kebangsaan yang dianggotai Chen Chu Sian, Haziq Kamaruddin dan Khairul Anuar Mohamad muncul sebagai kumpulan pertama atlet Malaysia yang layak ke London selepas meraih tempat kesembilan acara berpasukan pada Kejohanan Memanah Dunia di Torino, Itali pada 8 Julai lepas.

Dua penerjun, Pandelela Rinong dan Bryan Nickson Lomas turut menempah tiket ke London selepas melepasi tahap kelayakan.

Pandelela berada dalam kelompok lima penerjun terbaik dunia dari acara 10 meter Platform pada Kejohanan Akuatik di Shanghai, China sementara Bryan mara ke final acara terjun 3 meter papan anjal lelaki di kejohanan yang sama.-BERNAMA

Artikel Lain