suria

Elly Catat Masa Terpantas Saringan Superpole Pusingan Keenam Cub Prix 2011

ALOR SETAR: Elly Idzlianizar Illias mencatat masa terpantas sesi ujian masa bagi kategori CP130 dalam pusingan keenam Cub Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 yang berlangsung di Stadium Darulaman di sini Sabtu.

Pelumba pasukan Yamaha Global Bike Rock Oil Racing itu membuktikan kehebatannya selepas berjaya merekodkan masa terpantas dengan catatan 46.948 saat mengatasi sembilan lagi pencabar yang lain dalam perlumbaan superpole bagi sesi kelayakan.

Masa kedua terpantas menjadi milik Norizman Ismail dari pasukan TEQ SCK Honda Racing dengan catatan 46.963 saat manakala rakan sepasukannya Azlan Shah Kamaruzaman mengekori rapat untuk menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 46.986 saat.

Dengan kejayaan itu, Elly Idzlianizar akan menduduki petak pertama dalam saingan akhir yang akan berlangsung petang ini.

Sementara itu, sesi kelayakan kategori CP115A menyaksikan penguasaan pelumba Motul Yamaha YY Pang, Md Azhar Abd Jalil dengan catatan masa 47.785 saat manakala tempat kedua menjadi milik juara saringan ujian masa semalam, Sasitharen Sukumaran dari pasukan M-Seki Liberty Honda Racing selepas mencatat masa 47.916 saat dan pelumba dari Yamaha ZAR Racing Motorspot, Md Rozaliman Zakarian menduduki tempat ketiga dengan catatan 48.108 saat.

Bagi sesi kelayakan kategori CP115B, pelumba dari pasukan M-Seki Liberty Honda Racing, Md Emir Firdaus Hasan mengungguli kategori itu selepas mencatat 47.646 saat meninggalkan pelumba dari Petronas Syntium Moto Yamaha AHM, Md Hafieenaz Md Ali yang mencatat 47.849 saat untuk menduduki tempat kedua manakala Md Rozaiman Md Said dari Motul Yamaha YY Pang menduduki tempat ketiga selepas mencatat masa 47.755 saat.

Dalam saringan kelayakan bagi kategori Wira A, Md Hafiza Rofa dari Faito YSP Racing mencatatkan 49.683 saat untuk menduduki tempat pertama manakala pelumba dari Honda Promax X-Dot Racing Md Solehin Md Sukor menduduki tempat kedua selepas mencatat 49.571 saat.

Pelumba dari pasukan MOS Malaysia Racing, Zulsyafiz Rosli berada di kedudukan ketiga selepas mencatat masa 49.691 saat.

Sementara itu, Md Adib Rosely dari pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing menguasai kategori Wira B selepas mencatat masa 48.533 dalam saringan ujian kelayakan diekori rapat oleh Md Amin Md Azahar dari pasukan MOS Malaysia Racing dengan catatan masa 48.651 saat.

Pelumba dari pasukan Honda Promax X-Dot Racing, Md Emir Fareez Hasan berada di kedudukan ketiga selepas mencatat masa 49.180 saat.

Sepuluh pelumba terbaik dari kategori CP115A, CP115B, Wira A dan Wira B layak ke pusingan akhir yang berlangsung pada 2.35 petang ini. – BERNAMA

Artikel Lain