LONDON: Gol daripada Daley Blind pada minit terakhir permainan menyelamatkan Manchester United bangkit untuk mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang West Ham di Upton Park, awal pagi Isnin. Bagaimanapun, dengan keputusan berkenaan anak buah Louis Van Gaal gagal memintas Southampton ke tempat ketiga Liga Perdana Inggeris. Penyudah hebat Cheikhou Kouyate memberikan West Ham gol pendahuluan pada minit ke-49 selepas dia mengawal bola hasil sepakan percuma Mark Noble sebelum merembat masuk membocori gawang pelawat. Gol itu satu ketika memberi bayangan West Ham mampu mengutip semua mata sebelum Blind merembat masuk gol penyamaan selepas Marcus Rojo menolak bola masuk ke kotak penalti. Pemain pertahanan United, Luke Shaw dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit-minit terakhir perlawanan.