MADRID: Real Madrid terus merekodkan prestasi hambar bagi musim 2015 apabila tewas mengejut 1-0 kepada Athletic Bilbao dalam aksi La Liga di Stadium San Mames, awal pagi Ahad. Pasukan tuan rumah memperoleh gol tunggalnya menerusi Aritz Aduriz pada minit ke-26 selepas mendapat hantaran lintang Mikel Rico. Real bagaimanapun memperbaiki rentak permainan pada separuh masa kedua namun gagal memecah kebuntuan sehingga wisel penamat. Ia adalah kemenangan bermakna buat Athletic yang merekod kemenangan pertama ke atas juara Eropah itu sejak lima tahun lalu. Kekalahan tersebut adalah yang ketiga bagi Real dalam 11 perlawanan La Liga. Malah ia juga membuka laluan kepada Barcelona untuk memintas pasukan itu dengan perbezaan satu mata di puncak liga sekiranya menang ke atas Rayo Vallecano pada perlawanan malam Ahad. "Saya fikir masalah yang sedang kita hadapi kini agak jelas. Ia bukan masalah di benteng pertahanan tetapi jentera serangan. "Kami gagal merobek pertahanan lawan sama seperti perlawanan sebelum ini. Kami hanya mampu meledak satu gol itu pun menerusi penalti daripada dua perlawanan," kata pengendali Real, Carlo Ancelotti. Athletic pula dilihat bersemangat tinggi untuk mara ke final bagi saingan Copa del Rey pada pertengahan minggu ini apabila bertemu Barcelona untuk kali ketiga dalam tempoh tujuh tahun.