suria

Tiada Lagi FAM Jika Kerajaan Campur Tangan - Velappan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal berdepan pelbagai kesan buruk termasuk digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), jika berlaku campur tangan kerajaan. 

Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan berkata, Artikel 13 dan 17 Statut FIFA, jelas menyatakan kerajaan tidak ada hak campur tangan dalam persatuan bola sepak kebangsaan kerana ia adalah satu badan yang bebas.

"Jika mereka (kerajaan) berterusan campur tangan, saya rasa FAM tidak akan wujud lagi dan skuad kebangsaan tidak boleh mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan Piala Dunia di masa hadapan," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Velappan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang memberikan tempoh 14 hari kepada FAM mengemukakan laporan mengenai kekecohan sewaktu aksi pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia antara Malaysia dan Arab Saudi, Selasa lepas.

Menurut Khairy, surat meminta laporan itu dihantar Pejabat Pesuruhjaya Sukan kepada FAM pada Rabu, dan persatuan itu berdepan penggantungan jika Pesuruhjaya Sukan tidak berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan nanti.

Sehubungan itu, Velappan yang juga Penolong Setiausaha Agung FAM dari 1963 hingga 1980, meminta semua pemegang taruh bola sepak negara untuk bersama- sama mencari jalan terbaik meningkatkan semula sukan berkenaan yang merudum sejak beberapa dekad lalu.

"Hentikan perbuatan menuding jari antara satu sama lain. Mari kita berbincang dan mencari langkah terbaik untuk menyelamatkan mutu bola sepak negara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah yang dihubungi Bernama berkata, badan induk berkenaan dijangka membincangkan insiden di Stadium Shah Alam tersebut pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Jumaat.

"Saya tidak mengetahui mengenai kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Menteri (Khairy). Mungkin perkara berkenaan (kekecohan di Stadium Shah Alam) akan dibincangkan pada mesyuarat esok," kata Afandi.

Pada 30 Mei lepas, FIFA menggantung Indonesia berikutan campuran kerajaan republik itu dalam pertandingan liga domestik yang mengakibatkan skuad Garuda tidak layak beraksi di pusingan kelayakan Piala unia 2018, bermula 11 Jun lepas.

Perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi terpaksa dihentikan pengadil, Liu Kwok Man dari Hong Kong berikutan tindakan liar sekumpulan penonton tempatan.

Liu menghentikan perlawanan pada minit ke-88 selepas segelintir penyokong 'Ultras Malaya' membaling suar dan mercun roket ke padang, memaksa pemain dan pegawai kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan.

Sebelum perlawanan dihentikan, Arab Saudi sedang mendahului Malaysia 2-1.

FAM

Artikel Sebelum

Artikel Lain