PETALING JAYA: Gara-gara tindakan Ultras Malaya membaling suar pada perlawanan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa menjawab dua surat tunjuk sebab. Surat tunjuk sebab itu daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman di mana kedua-dua surat itu diterima FAM pada 9 September. Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, selain itu FAM juga telah bersetuju untuk menghantar surat menyatakan dukacita dan memohon maaf kepada kedutaan Arab Saudi melalui kedutaan di Malaysia. "Kita sedang menyediakan jawapan surat tunjuk sebab dan perlu menjawab dalam tempoh 14 hari. "Selain Arab Saudi, kita juga akan menghantar surat kepada kedutaan-kedutaan lain yang berada di Stadium Shah Alam pada malam tersebut," katanya. Menurut Afandi, walaupun perkara ini berada dalam makluman Fifa, menjadi amalan biasa apabila Fifa menghantar surat tunjuk sebab apabila berlakunya sesuatu insiden dalam perlawanan bola sepak. Katanya, di dalam surat yang akan dihantar sebagai balasan, FAM perlu memberikan penjelasan, laporan penuh perlawanan, tindakan keselamatan, prosedur operasi standard (SOP) dan beberapa perkara lain. "Setiap kali perlawanan diadakan, pesuruhjaya perlawanan dari Fifa akan dipanggil menghadiri mesyuarat dan diberi maklumat mengenai tindakan-tindakan yang akan diambil dan dia tahu proses yang kita sedang lakukan. "Setakat mesyuarat yang berlangsung itu, dia berpuas hati dengan apa yang kita laksanakan," katanya. Pada perlawanan malam Selasa, Arab Saudi mendahului Malaysia 2-1 sebelum perlawanan dihentikan pada minit ke-88 oleh pengadil Liu Kwok Man dari Hong Kong berikutan tindakan liar segelintir penyokong membaling suar dan mercun roket ke padang. Ekoran insiden tersebut, FAM berdepan penggantungan pendaftaran sekiranya badan induk itu gagal menjawab notis tunjuk sebab yang dihantar Pesuruhjaya Sukan berhubung kekecohan yang berlaku itu.