PETALING JAYA: Saranan pelbagai pihak supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dirombak tidak akan menyelesaikan kemelut yang melanda badan induk itu dan skuad bola sepak kebangsaan ketika ini. Naib Presidennya, Datuk Takiyuddin Hassan sebaliknya berkata, kerjasama semua pihak adalah sesuatu yang dilihat dapat membantu menyelesaikan segala masalah dan kekusutan yang berlaku. "Tindakan meletak jawatan ahli-ahli Exco FAM bukan satu penyelesaian. Kami mengambil tanggungjawab ini secara kolektif dan akan terus bergerak ke hadapan bagi menyelesaikan masalah. "Harapan kami perkara ini mendapat kerjasama semua pihak temasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sendiri, sebab itu kami ambil ketetapan untuk bertemu beliau, bertanya dan dapatkan nasihat apa yang perlu kami buat lagi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan sesama ahli Exco di Wisma FAM di sini, Jumaat. Takiyuddin berkata, kerjasama kerajaan dalam membantu menangani masalah ini penting bagi mengelakkan tindakan lebih buruk dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa). "Tapi tak boleh ada campur tangan yang menyebabkan tindakan lebih teruk lagi daripada Fifa," katanya. Menerusi pertemuan kira-kira dua jam itu, FAM atas semangat tanggungjawab bersama telah sepakat untuk memberi fokus kepada tindakan yang akan dilakukan, terutama dalam konteks mengembalikan perkembangan pasukan kebangsaan. Lima aspek akan diberi penambahbaikan adalah pembangunan belia, liga tempatan, pengurusan FAM, status Harimau Muda dan status pasukan kebangsaan. Jawatankuasa Khas bagi mengkaji kemerosotan bola sepak negara yang dibentuk baru-baru ini akan meneliti kelima-lima aspek ini secara terperinci pada 14 September ini.