suria

EPL: Pellegrini Yakin Berbaloi Beli De Bruyne

Kevin De Bruyne

MANCHESTER: Pengendali Manchester City, Manuel Pellegrini yakin keputusan untuk memiliki pemain terbaik Bundesliga, Kevin De Bruyne berbaloi untuk kelabnya.

Perancang tengah itu bakal membuat penampilan sulung bersama pasukan itu selepas berpindah ke Etihad pada kadar STG54 juta (RM358.75 juta).

Pemain Belgium itu akan mengambil tempat David Silva yang cedera ketika Man City bertemu Crystal Palace di laman lawan.

Sekalipun hanya sempat berlatih selama dua hari bersama rakan sepasukan barunya sebelum rehat aksi antarabangsa, Pellegrini yakin pemain berusia 24 tahun itu sudah bersedia. "Mungkin pada awalnya semua orang akan bercakap mengenai harga.

"Namun pada akhirnya, ia adalah sebahagian daripada permainan untuk pemain menunjukkan mengapa kami membawa mereka ke sini.

"Ada pemain yang dibeli dengan harga murah dan bermain dengan amat-amat baik dan mungkin ada pemain yang dibeli dengan harga mahal namun tidak beraksi baik.

"Saya yakin Kevin De Bruyne pada penghujung musim ini tiada siapa ingat berapa banyak kami belanjakan untuk mendapatkannya," katanya.

Ditanya mengenai kempen mengecewakan De Bruyne ketika bersama Chelsea sebelum ini, Pellegrini berkata: "Saya tidak bimbang mengenainya kerana saya tahu bagaimana dia bermain.

"Dengan cara permainan kami, saya yakin dalam pasukan kami, dia akan menjadi amat baik," katanya.

Selain Silva, Man City turut dikejutkan dengan berita kecederaan Fabian Delph yang menghalangnya daripada beraksi lebih daripada enam minggu. 


Artikel Sebelum

Artikel Lain