NEW YORK: Pemain No.1 dunia, Novak Djokovic menempah laluan mudah ke final tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas menewaskan juara bertahan, Marin Cilic 6-0, 6-1, 6-2 pada aksi separuh akhir, awal pagi Sabtu. Djokovic yang juga juara 2011 akan bertemu sama ada juara lima kali, Roger Federer atau Stan Wawrinka yang sedang bertarung dalam perlawanan separuh akhir berasingan. Pemain Serbia itu kini sudah melangkah ke final bagi kesemua empat kejohanan utama tahun ini. Beliau turut menjuarai Terbuka Australia dan Wimbledon, manakala menjadi naib juara di Paris. Pada perlawanan separuh akhir itu, Djokovic hanya mengambil masa 85 minit untuk menyingkirkan Cilic. Pemain Crotia itu tidak beraksi pada tahap terbaik apabila dilanda kecederaan buku lali. Cilic yang tampil sebagai pemain pilihan kesembilan melakukan 37 kesilapan sendiri dan hanya merebut 13 mata daripada servis Djokovic.