suria

Fifa Sahkan 7 Calon Presiden Yang Baru

BADAN bolasepak dunia, Fifa pada Rabu mengesahkan senarai tujuh calon yang akan bertanding merebut jawatan presiden yang dikosongkan oleh penyandang sekarang, Sepp Blatter pada 26 Februari tahun depan.

Pemilihan jawatan presiden akan diadakan semula selepas Blatter yang baru dipilih semula untuk penggal kelima tahun ini mengumumkan hasrat melepaskan jawatan itu Jun lalu selepas dia menerima pelbagai tekanan termasuk daripada penaja utama Piala Dunia ekoran skandal rasuah yang melanda badan bolasepak dunia itu baru-baru ini.

Calon-calon baru untuk jawatan presiden Fifa ialah;

1. Putera Ali bin al-Hussein, 39, presiden Persatuan Bolasepak Jordan; 


2. Musa Bility, 48, presiden Persatuan Bolasepak Liberia;


3. Jerome Champagne, 57, bekas eksekutif Fifa;


4. Gianni Infantino, 45, setiausaha agung Kesatuan Bolasepak Eropah;


5. Michel Platini, 60, presiden Kesatuan Bolasepak Eropah;


6. Sheikh Salman bin Ebrahim al-Khalifa, 49, presiden Persekutuan Bolasepak Asia.


7. Tokyo Sexwale, 62, bekas menteri Afrika Selatan.

Sepp Blatter, 79, kini digantung keanggotaan dan jawatan oleh Jawatankuasa Etika Fifa selepas beliau menjadi salah seorang pegawai tinggi Fifa yang disiasat oleh pihak berkuasa atas dakwaan rasuah.

Platini juga sepertimana Blatter adalah salah seorang pegawai tinggi Fifa yang turut digantung tetapi Jawatankuasa Pemilihan memutuskan beliau layak bertanding jika pengantungannya tamat sebelum pemilihan bermula.

Fifa dan pihak berkuasa Swiss kini sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas dakwaan salahlaku rasuah yang melibatkan wang berjumlah £1.35 juta pada 2011 yang dibayar kepada Platini sebagai penasihat Blatter.

Kedua-dua mereka menafikan sebarang salah laku dan telah mengemukakan rayuan ke atas pengantungan selama 90 hari yang dikenakan ke atas mereka.

Kesemua calon presiden Fifa perlu mendapatkan sekurang-kurangnya sokongan bertulis daripada lima badan bolasepak negara anggota sebelum layak diterima sebagai calon.

Fifa, Piala Dunia

Artikel Lain