BARCELONA mengambil langkah drastik bagi memastikan penyerangnya, Neymar terus menyarung jersi kelab ini dengan menawarkan kontrak baharu yang lebih lumayan. Bertindak di atas laporan kemungkinan Neymar mahu berpindah ke kelab lain bagi mencerahkan peluang untuknya meraih anugerah Ballon d'Or sekaligus dikaitkan dengan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United yang sedia melabur mendapatkan pemain Brazil ini. Bapa Neymar mengesahkan United menunjukkan minat serius terhadap anaknya pada musim perpindahan akan datang dan pengurus Louis van Gaal sanggup membuat bayaran rekod dunia bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 23 tahun itu. Namun kelab gergasi Sepanyol itu sedia menggandakan gaji Neymar kepada 500,000 pound seminggu (RM3.3 juta) sekaligus menjadikannya pemain ketiga dunia yang menerima gaji tertinggi. Setakat ini hanya Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sahaja yang menerima gaji tertinggi iaitu 565,000 pound seminggu (RM3.7 juta) dan 550,000 pound seminggu (RM3.6 juta). Tawaran kontrak baharu itu membuktikan Barcelona tidak akan biarkan Neymar berpindah ke kelab lain.