CRISTIANO Ronaldo gembira di Real Madrid tetapi mengaku tidak pasti sama ada masa depannya kekal di Santiago Bernabeu. Pemain Portugis ini mengatasi rekod Raul di Madrid sebagai penjaring terbanyak dalam kemenangan ke atas Levante pada 17 Oktober lalu. Dia mencatat 326 gol dalam 313 penampilan. Laporan baru-baru telah mengaitkan penyerang itu dengan perpindahan keluar dari Bernabeu, dengan Paris Saint-Germain dan Manchester United dianggap sebagai kelab berpotensi untuknya. Ronaldo mengakui dia tidak tahu sama ada dia akan kekal di Madrid untuk baki kerjayanya, tetapi gembira buat masa ini. "Buat masa ini, saya gembira bermain untuk Real Madrid tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan saya," Ronaldo dipetik sebagai berkata oleh EFE. "Saya perlu memilih cara yang membuatkan saya gembira." Semasa di Sepanyol dia bersaing dengan bintang Barcelona, Lionel Messi. Pasangan itu sebelum ini telah berkongsi tujuh gelaran Ballon d'Or dan enam trofi Pichichi yang dianugerahkan kepada pemain dengan jumlah jaringan tertinggi dalam La Liga. Ronaldo mengakui sukar untuk berdepan dengan kekalahan tetapi menganggap dirinya lebih unggul daripada pemain Argentina itu. "Saya tidak boleh menerima kekalahan, saya menjadi sangat marah. Saya menjerit dan mengatakan perkara-perkara bodoh dan kemudian saya menyesal," katanya. "Dalam kepala saya, saya adalah yang terbaik dan saya fikir setiap orang harus berfikir yang baik tentang diri mereka sendiri jika mereka mahu mencapai sesuatu yang hebat."