KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia pada Grand Prix Emas Terbuka Macau diteruskan ke separuh akhir selepas Goh Soon Huat melakar kejutan dengan menyingkirkan pemain pilihan, B. Sai Praneeth dari India, Jumaat. Soon Huat, 25, yang sudah menewaskan beberapa pemain pilihan dalam laluan ke suku akhir Grand Prix Emas buat kali pertama cemerlang apabila menundukkan pilihan ke-15, Praneeth 21-16, 21-23, 21-13. Kemenangan tersebut membantu memperbaiki rankingnya daripada kedudukan 82 dunia ketika ini. Sebelum ini, Soon Huat mengalahkan Tanongsak Saensomboonsuk (Thailand) dan Wang Tzu-wei (Taiwan) pada pusingan awal. “Saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi, sebaliknya hanya mahu memberi aksi terbaik dan cuba mara sejauh yang boleh. “Biarpun ada ketika saya melakukan kesilapan mudah, namun secara keseluruhan permainan saya agak baik sepanjang minggu ini. “Berjaya menewaskan beberapa pemain dengan ranking lebih tinggi sudah tentu akan meningkatkan keyakinan saya untuk pergi lebih jauh,” kata Soon Huat, naib juara Grand Prix Emas Terbuka Malaysia 2013.