ANDY Murray membantu membawa pasukan Great Britain menjuarai Piala Davis selepas menewaskan pemain Belgium, David Goffin sekaligus memadamkan penantian selama 79 tahun menjulang salah satu trofi berprestij acara tenis ini. Murray menewaskan Goffin,24, secara straight set, 6-3 7-5 6-3 di Flanders Expo, Ghent di Belgium selepas Britain mendahului 2-1 pada acara beregu pada Sabtu bersama abangnya, Jamie. Pada aksi akhir penentuan perseorangan, pasukan yang dilatih oleh Leon Smith yang juga kapten pasukan Britain meletakkan harapan kepada Murray untuk memastikan trofi itu menjadi milik mereka. Biarpun ditentang sengit oleh pemain tuan rumah berusia 24 tahun itu, Murray tetap mempamerkan permainan bergaya bagi memastikan trofi Piala Davis ini dibawa pulang ke Britain selepas tahun 1936. Malah kejayaan ini menyaksikan Murray mencatat kejayaan peribadinya ke-11 keseluruhan tahun ini. “Saya tidak percaya kami berjaya melakukannya dan tidak pernah terfikir akan berada di sini. Ia sangat menakjubkan. “Saya sentiasa akan bermain yang terbaik untuk negara. Terima kasih kepada semua yang hadir memberi sokongan, sama ada penyokong Britain mahupun Belgium. “David seorang pemain yang hebat. Bakatnya sangat luar biasa dengan memberi aksi sukar ketika perlawanan, namun saya berjaya atasinya,” jelas pemain di ranking kedua dunia itu. Sebagai rekod, pasukan Amerika Syarikat memegang rekod kejuaraan terbanyak kejohanan tenis berpasukan ini iaitu sembilan kali sejak tahun 1972 dan kali terakhir menjuarainya pada tahun 2007. Manakala juara musim lalu dirangkul oleh pasukan Switzerland.