PENYERANG Chelsea, Diego Costa enggan membuat latihan pemanas badan sebelum aksi seri 0-0 bertemu Tottenham Hotspur, malah turut membaling bib yang dipakai ke arah Jose Mourinho selepas namanya berada dalam barisan pemain simpanan. Nama Costa digugurkan pada aksi di White Hart Lane berikutan aksi hambar musim ini yang hanya menjaringkan satu gol dalam 10 perlawanan. Kemarahan Costa lebih terserlah selepas tidak hadir pada sesi latihan bersama rakan sepasukan sebelum perlawanan. Mourinho mengarahkan Costa melakukan latihan pemanas badan bersama rakan sepasukannya ketika perlawanan sedang berlangsung, namun pengurus itu memasukkan Ruben Loftus-Cheek sekaligus menambahkan lagi 'bengang' pemain kebangsaan Brazil itu. Ketika menuju ke bangku simpanan, Costa membuka bib dan membaling ke arah belakangnya yang nyaris terkena kepada Mourinho. "Jika dia ingin mencederakan saya, bukan dengan bib. Saya mempunyai hubungan baik dengannya, tiada masalah," jelas Mourinho. Malah Mourinho mengulas tindakan tidak memasukkan Costa kerana sikap pemain itu sendiri. "Dia bersedia untuk bermain apabila dia menjalani latihan pemanas badan. Apabila saya mengambil keputusan tidak memasukkannya, dia terus berlalu. Dan kemungkinan juga dia makan di dalam bas ketika menunggu kami," jelasnya. Selain itu, Mourinho turut menjelaskan bahawa Costa merupakan pemain penting dan dia adalah orang terakhir berada di bangku simpanan. "Dia ada kelebihan kerana menjadi pemain terakhir berada di bangku simpanan kerana semua pemain lain sudah merasainya: kapten, Branislav Ivanovic, Gary Cahill, Cesc Fabregas, Pedro, Eden Hazard, Oscar dan lain-lain lagi," katanya.