KUALA LUMPUR: Pasukan PDRM berjaya menyekat kemaraan pendahulu Liga Super, Selangor dengan kemenangan 2-1 pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam Jumaat. Kemenangan itu sekali gus memadamkan hasrat juara Piala Malaysia 2015 itu untuk melangkah ke suku akhir Piala FA. Muhammad Safuwan Baharudin menjadi wira PDRM selepas meledak dua gol pada minit ke-37 dan 58. Penyerang berbisa skuad Gergasi Merah, Patrick Ronaldinho Wleh mengurangkan defisit dengan menjaringkan gol empat minit sebelum wisel penamat. Sementara itu, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah bergaya ke suku akhir selepas menang selesa 4-1 ke atas Negeri Sembilan. Skuad bimbingan Mario Gomez itu membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Aznie Taib. Lima minit kemudian oleh Amri Yahyah yang menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan berikutan kekasaran Mohd Shazlan Alias ke atas Gary Steven Robart. Selepas rehat, JDT menambah dua lagi gol yang dihasilkan Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-63 dan 90 manakala gol sagu hati Negeri Sembilan diperoleh menerusi Andrew Nabbout pada minit ke-66. Pada Sabtu, lima lagi perlawanan pusingan ketiga Piala FA akan diadakan melibatkan juara edisi 2014, Pahang bertemu Sime Darby FC; Perak menentang Kuantan FA, PKNS berdepan Felda United, Perlis bertemu Kuala Lumpur dan Sabah berhadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).