KUALA LUMPUR: Hasrat Malaysia untuk menggantikan Filipina sebagai tuan rumah bersama Piala Suzuki AFF 2016 tidak kesampaian apabila negara itu berjaya memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF). Majlis AFF dalam mesyuaratnya di Da Nang City, Vietnam, pada Sabtu, memberi kelulusan kepada Persekutuan Bola Sepak Filipina (PFF) untuk kekal menjadi tuan rumah bersama Myanmar. Sebelum ini, Filipina menarik diri sebagai tuan rumah bersama selepas PFF gagal menyediakan kontrak antara mereka dengan pihak pengurusan Stadium Sukan Filipina selain surat jaminan daripada Suruhanjaya Sukan Filipina. Bagaimanapun, Majlis AFF memberi kelulusan kepada Filipina untuk menggalas tugas itu selepas menerima dokumen kontrak dan surat jaminan tersebut. Setiausaha PFF, Atty Edwin B Gastanes berkata mereka sangat gembira untuk menerima sokongan Majlis AFF dan berharap untuk menganjurkan kejohanan dwitahunan itu bersama Myanmar dengan jayanya. "Kedua-dua negara tuan rumah perlu melakukan banyak kerja kerana ini adalah kali pertama kedua-dua negara menjadi tuan rumah Piala Suzuki. Kami perlu memastikan ia dilakukan dengan sebaik mungkin," katanya seperti dipetik dalam laman web AFF di www.aseanfootball.org. Stadium Sukan Filipina dengan kapasiti 25,000 penonton akan menjadi venue utama manakala Stadium Peringatan Rizal dengan kapasiti 12,500 penonton menjad ivenue kedua. Perlawaanan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF akan berlangsung dari 19 hingga 26 November ini. Sebelum ini, Malaysia, Singapura dan Vietnam merupakan tiga negara dalam senarai simpanan sekiranya salah satu tuan rumah menarik diri. Bagaimanapun, hanya Malaysia kekal dalam senarai pengganti itu selepas Singapura dan Vietnam menarik diri daripada senarai itu. -Bernama