suria

Tan Cheng Hoe Terharu, Kejayaan Terbaik Sebagai Jurulatih

Tan Cheng Hoe

KETUA Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe terharu dengan kejayaan pasukannya yang berjaya melangkah ke final Piala Malaysia kerana ia turut melakar satu kenangan manis dalam kariernya sebagai jurulatih.

Bekas penolong jurulatih kebangsaan itu berkata, kejayaan skuad hijau kuning berada di final dan tempat ketiga Liga Super merupakan pencapaian terbaik sepanjang kariernya.

Menurutnya, walaupun pernah bergelar ketua jurulatih untuk pasukan Perlis dan Kelantan namun dia gagal mencapai kejayaan yang dikecapi bersama Kedah ketika ini.

"Ini adalah kejayaan paling manis dalam karier saya sebagai jurulatih. Walaupun pernah bersama Perlis dan Kelantan tapi akhirnya saya memperolehi kejayaan bersama pasukan yang pernah saya wakili sebelum ini.

"Kejayaan ini cukup bermakna kerana saya pernah menjadi pemain Kedah. Bukan setakat berada di final untuk dua tahun berturut-turut tapi kami juga berada di kedudukan ketiga Liga Super," katanya kepada mStar Online.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheng Hoe berkata, pemain Kedah berjaya mengawal mental dengan baik selain konsisten dan tidak melakukan kesilapan yang memberi ruang kepada lawan menjaringkan gol.

"Saya berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan walaupun kita gagal menjaringkan gol. Pemain berjaya mempamerkan satu aksi yang baik dengan mengawal mental serta konsisten sepanjang permainan.

"Mereka beraksi seperti yang dirancang dan mengawal pemain PDRM daripada menjaringkan gol. Inilah hasil disiplin di atas padang yang membawa kepada kejayaan kita ke final," jelasnya.

Beliau memberitahu, pujian juga perlu diberikan kepada semua pemain kerana menjalankan tangungjawab mereka dengan cemerlang untuk memastikan kita tidak kecewa.

Tambahnya, pemain akan kembali menjalani latihan pada petang Isnin di Alor Setar dan persediaan akan dilakukan untuk menentang Felda United dalam perlawanan terakhir Liga Super.

"Selepas itu kita akan melakukan persediaan bagi mengharungi perlawanan akhir Piala Malaysia dengan menentang pasukan yang kita bertemu pada musim lalu.

"Pastinya kita tidak mahu lagi dikecewakan dalam perlawanan kali ini kerana telah bersusah payah untuk kembali berada di final tahun ini," ujarnya.

Cheng Hoe selain itu turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong Kedah yang hampir memenuhi Stadium Hang Jebat dan memberikan sokongan yang menakjubkan untuk memastikan skuad hijau kuning berjaya di pentas separuh akhir.

Kedah, Liga Super, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain