PEMAIN tengah Jerman, Julian Draxler bersetuju untuk menyertai Paris Saint-Germain menerusi kontrak empat tahun setengah dengan bayaran yang dilaporkan sekitar £38 juta, demikian menurut Wolfsburg. Draxler, 23, menyertai Wolfsburg pada musim panas 2015 sebagai pengganti Kevin De Bruyne. Dia sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Arsenal, Liverpool dan Juventus. Walau bagaimanapun PSG berjaya mengikat pemain tersebut dengan Wolfsburg mengesahkan bahawa dia akan berpindah ke kelab Perancis itu pada Januari sementara menunggu laporan perubatan. "Kami telah mengadakan perbincangan dengan Paris Saint-Germain, Julian Draxler dan pengurusannya sejak beberapa hari kebelakangan ini dan kami yakin telah mencapai keputusan yang memuaskan untuk semua pihak," kata pengarah sukan Wolfsburg, Olaf Rebbe. Sementara itu ketua jurulatih Valerien Ismael berkata: "Sudah tentu saya sedih melihat Julian pergi kerana dia seorang pemain bola sepak yang luar biasa. "Dia memberikan segala-galanya dalam perlawanan baru-baru ini ketika menentang Frankfurt dan Gladbach. Saya berharap perpindahannya ke Perancis akan memberikannya cabaran yang baru."