KETUA Red Bull, Christian Horner menganggap hubungan Daniel Ricciardo dan Max Verstappen seperti abang dan adik sepanjang digandingkan dalam pasukan itu. Mereka digandingkan bersama musim ini selepas Red Bull menukar Daniil Kvyat ke pasukan Toro Rosso dan memilih Verstappen ketika perlumbaan Grand Prix Sepanyol. Biarpun belum pasti potensi sebenar ketika itu, Verstappen berjaya meraih kemenangan pada penampilan pertamanya, dan Ricciardo mengakui kehadiran rakan sepasukan itu telah meningkatkan tahap pretasinya. "Perkara yang paling penting di situ adalah sikap hormat. "Kami tidak mengarahkan kedua-dua pemandu itu keluar makan bersama tetapi meminta mereka supaya saling hormat menghormati antara satu sama lain dan juga kepada pasukan. "Mereka telah melakukannya dengan baik malah hubungan rapat itu memberi kelebihan kepada kami. Red Bull puas hati hubungan baik dua pelumbanya, Verstappen (kanan) dan Ricciardo. "Dalam apa jua situasi, Daniel seperti abang kepada Max. "Mereka juga sependapat berkaitan dengan permintaan atau maklum balas terhadap jentera," jelasnya. Malah Horner mengakui tugas sukar sekiranya terpaksa memisahkan mereka berdasarkan prestasi masing-masing. "Pretasi mereka bergilir-gilir, jika minggu ini seorang berada di kedudukan teratas, manakala perlumbaan berikutnya pasti pelumba seorang lagi akan mencatat keputusan baik. "Ia dilihat seimbang berdasarkan venue perlumbaan yang berbeza-beza," jelasnya. Dalam pada itu, Horner menjelaskan Red Bull mengamalkan peraturan yang mudah dalam cabaran merebut gelaran musim 2017. "Kami lebih suka fokuskan satu demi satu perlumbaan dan saya percaya peraturan mudah itu sentiasa menjadi falsafah dalam meningkatkan lagi sukan ini, keep it simple."