PENGURUS Chelsea Antonio Conte mengesahkan penjaring terbanyak Diego Costa terlepas pertemuan menentang Leicester City yang menyaksikan kelab itu menang 3-0 pada awal pagi Ahad kerana bergelut dengan kecederaan. Namun Conte enggan mengulas lanjut sama ada Costa akan diturunkan pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Hull City, Ahad depan. Malah dalam sidang media selepas tamat perlawanan, Conte dilihat lebih berhati-hati dalam percakapannya apabila menafikan dia mengetahui bidaan dari China terhadap Costa dan berlaku perbalahan dengan pemain terbabit semasa sesi latihan minggu lalu. Conte mengulangi pendiriannya bahawa Costa yang kini menjaringkan 14 gol dalam 19 perlawanan liga setakat ini bergelut dengan kecederaan belakang pada Selasa dan tidak menjalani latihan sejak itu. "Saya fikir sebelum perlawanan saya sudah beritahu perkara sebenarnya dan saya mengulangi kebenaran itu kerana saya tidak suka menipu. "Diego tidak berlatih pada Selasa kerana dia merasa kesakitan di bahagian belakang, untuk sebab itu dia tidak dapat datang. Ini adalah kebenarannya," kata Conte. Ketika ditanya sama ada dia berbalah dengan Costa, Conte berkata: Saya tidak tahu mengenai perkara ini, saya ulangi, kebenarannya adalah seperti yang maklumkan sebelum ini. Sekarang kita lihat dalam minggu akan datang. Ditanya sama ada Chelsea menerima tawaran dari China untuk mendapatkan Costa, beliau berkata: "Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini." Terdahulu ejen Costa, Jorge Mendes dilaporkan bertemu dengan Shu Yuhui, pengerusi pasukan China, Tianjin Quanjin yang bersedia berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat penyerang sensasi Chelsea itu. Costa yang masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun di Stamford Bridge dilaporkan tidak berminat untuk berhijrah ke China. Namun, dua pemain Chelsea, Oscar dan John Obi Mikel sudah menyertai pasukan dari China iaitu, Shanghai SIPG danTianjin TEDA pada pintu perpindahan bulan ini. Terdahulu, Chelsea menundukkan bekas juara Liga Perdana Inggeris musim lalu, Leicester City 3-0 menerusi dua jaringan Marcos Alonso dan Pedro. Kemenangan itu membolehkan Chelsea terus mendahului takhta liga dengan kelebihan tujuh mata di depan Tottenham Hotspur.